Saifullah berkawan dengan buaya sejak kecil

Saifullah ketika memberi penerangan mengenai haiwan pemangsa itu.
Saifullah ketika memberi penerangan mengenai haiwan pemangsa itu.
A
A
A

MELAKA - Seawal usia sembilan tahun, Saifullah Muhammad Sarath, 34, sudah didedahkan dengan pelbagai jenis spesies buaya hingga digelar Putera Buaya pada tahun 1999.

Pengalaman yang diperolehi dari zaman kanak-kanak itu membuatkan Saifullah atau lebih dikenali menerusi akaun TikTok sebagai Bangbuya 'berani' bekerja sebagai penjaga haiwan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.

Saifullah berkata, ketika di bangku sekolah dia sering mengikuti bapanya, Muhammad Sarath Abdullah, 63, yang bekerja sebagai Pengurus Operasi Taman Buaya ke lokasi pelancongan tersebut sekali gus memberi ruang untuknya lebih mendekati reptilia pemangsa berkenaan.

Menurutnya, pernah satu ketika kedatangan pengunjung ke taman buaya itu mengalami penurunan dan dia dengan sukarela dilatih membuat persembahan bersama buaya untuk menarik kehadiran orang ramai.

Katanya, dengan usia yang masih muda, dia teruja membuat pelbagai aksi di khalayak ramai termasuk berdiri, baring dan duduk di atas haiwan tersebut yang lebih besar saiznya daripada saiz fizikal badannya ketika itu.

Saifullah ketika beraksi dengan seekor buaya yang terdapat di Taman Buaya dan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka.
Saifullah ketika beraksi dengan seekor buaya yang terdapat di Taman Buaya dan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka.

"Sepanjang membuat latihan timbul rasa sayang pada seekor buaya yang dinamakan 'Mat Ali' namun selepas beberapa tahun berlatih bersama, haiwan itu mati.

"Ia dah macam rakan karib saya, disebabkan terlalu sedih kehilangan teman baik saya mengambil keputusan untuk tidak lagi bermain dengan buaya dan memberikan perhatian kepada pelajaran," katanya ketika ditemui di Taman Buaya dan Rekreasi di Ayer Keroh.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, selepas tamat pengajian di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) beberapa tahun kemudian dia ditawarkan menjadi penjaga haiwan di taman berkenaan dan mengakui hampir kesemua buaya mempunyai nama panggilan masing-masing.

Ujarnya, dengan kemudahan teknologi dia mengambil peluang merakamkan aktiviti bersama buaya dan secara tidak langsung memberi pengetahuan kepada penonton mengenai reptilia itu seperti cara mengutip telur, cara memberi makan, pancaindera buaya dan sebagainya.

Katanya, buaya merupakan haiwan purba yang sering digambarkan sebagai ganas serta pembunuh namun haiwan ini juga mempunyai keistimewaan dan kelebihan untuk diterokai.

Gambar kenangan Saifullah membuat persembahan bersama buaya yang dinamakan Mat Ali.
Gambar kenangan Saifullah membuat persembahan bersama buaya yang dinamakan Mat Ali.

"Apabila saya membuat video atau siaran langsung di media sosial, dapatlah saya berkongsi ilmu dan memberi pendidikan kepada penonton untuk lebih mengenali haiwan itu dan menambahkan informasi.

"Walaupun ada antara buaya itu dilihat jinak, namun saya sentiasa behati-hati kerana pekerjaan ini sentiasa berdepan risiko diserang haiwan itu jika salah taktiknya," katanya.

Tambahnya, antara spesies buaya yang terdapat di taman itu termasuk buaya tembaga, jejulung, siam, caiman selain buaya tembaga atau buaya air masin yang paling besar iaitu seberat 1,000 kilogram.

"Sebenarnya macam-macam info yang kita boleh perolehi dan secara tidak langsung menarik minat pelajar untuk mempelajari mata pelajaran sains," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!