Wang ihsan: Kelantan rakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan

Mohd Nassuruddin
Mohd Nassuruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyalurkan wang ihsan berjumlah RM58.6 juta pada minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, wang ihsan merupakan satu bentuk terimaan yang sememangnya diperuntukkan dalam Bajet Negeri.

"Semua terimaan dan perbelanjaan yang terdapat dalam Bajet Negeri diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

"Kerajaan Negeri berharap penyaluran wang ihsan dapat diteruskan dengan pembayaran secara berjadual berdasarkan prinsip dan semangat persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa telus dalam melaksanakan sebarang peruntukan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Sinar Harian semalam melaporkan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan selain itu, bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.

Menurut kenyataan itu, sebarang baki Wang Ihsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.

"Ini dicerminkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024," menurut kenyataan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28