Pantau kanak-kanak beraya, elak strok haba - JKNK Kelantan

JKNK meminta golongan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak yang beraya bagi mengelakkan terkena serangan strok haba sepanjang sambutan Aidilfitri ini.Gambar hiasan
JKNK meminta golongan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak yang beraya bagi mengelakkan terkena serangan strok haba sepanjang sambutan Aidilfitri ini.Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) meminta golongan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak yang beraya bagi mengelakkan terkena serangan strok haba sepanjang sambutan Aidilfitri ini.

Ia susulan beberapa daerah di negeri ini iaitu Gua Musang mencatatkan bacaan kepanasan tahap dua manakala tahap satu melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, banyak aktiviti pergerakan terutama melibatkan kanak-kanak dijangka berlaku sepanjang musim perayaan.

"Walaupun, setakat ini kita tidak menerima laporan kes baharu yang melibatkan strok haba namun langkah pencegahan perlu diambil.

"Kita tidak mahu kes ini berulang kembali sepanjang musim perayaan," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, golongan ibu bapa perlu bersedia dan mengambil tahu jika berlaku simptom seperti mual, demam, pening serta kelesuan dan cirit-birit berlaku kepada anak-anak.

Ujarnya, JKNK sentiasa memberikan peringatan kepada orang ramai melalui kempen di media sosial, klinik kesihatan dan sebagainya.

Dr Zaini memberitahu, suhu tertinggi dicatatkan di negeri ini ialah 39 darjah Celcius.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, selain kanak-kanak, golongan berusia serta berisiko dinasihatkan agar tidak terdedah dengan cuaca panas.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan terdapat satu kes kematian akibat strok haba telah berlaku.

Nadma dalam satu kenyataan berkata, kematian tersebut berlaku pada 1 April lalu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!