Israel mula atur operasi tentera di Rafah

Penduduk Palestin pulang semula Khan Yunis susulan pengunduran tentera Israel dari bandar selatan Gaza itu. Foto AFP
Penduduk Palestin pulang semula Khan Yunis susulan pengunduran tentera Israel dari bandar selatan Gaza itu. Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sedang bersiap untuk operasi ketenteraan di titik paling selatan Gaza di Rafah, selepas enam bulan 'perang panjang' yang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Israel menarik pasukannya keluar dari selatan Semenanjung Gaza pada Ahad dalam penarikan separa selepas perang yang sudah berlarutan setengah tahun itu sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Penarikan balik sebahagian tentera itu dibuat ketika rundingan ke arah gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan sedang berlangsung di Kaherah, membabitkan termasuk pengantara Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir.

Presiden AS, Joe Biden pada Khamis memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa beliau mahu gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dan peningkatan penghantaran bantuan.

Selepas kematian tujuh pekerja bantuan warga asing, Biden juga membayangkan untuk menjadikan sokongan AS kepada Israel bersyarat bagi menyekat pembunuhan orang awam dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.

Namun, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, tentera yang meninggalkan bandar Khan Yunis selepas berbulan-bulan berperang, kini dalam mempersiapkan 'misi masa depan termasuk di Rafah'.

Malah, Netanyahu pula memberitahu, Israel hanya 'selangkah lagi daripada kemenangan' dan berikrar tidak akan berhenti dalam pertempuran sehingga Hamas membebaskan semua tebusan.

Selepas tentera meninggalkan kawasan sekitar bandar Khan Yunis yang sebahagian besarnya musnah, sekumpulan penduduk Palestin mula pulang, sambil berharap untuk kembali ke rumah mereka dari tempat perlindungan sementara di Rafah.

Artikel Berkaitan:

Bagi Muhammad Yunis, 51, warga Palestin di utara Gaza, dia 'tidak melihat apa-apa selain kehilangan'.

"Tidakkah pengeboman, kematian dan kemusnahan cukup? Masih ada mayat di bawah runtuhan. Kami dapat menghidu bau busuk itu," katanya.

Perang Gaza itu tercetus selepas serangan pejuang Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu yang mengakibatkan kematian 1,170 orang.

Menurut kementerian kesihatan, serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 33,175 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Di Kaherah, Al-Qahera melaporkan 'kemajuan penting yang dicapai dalam beberapa perkara yang dipertikaikan perjanjian', memetik sumber pegawai Mesir berpangkat tinggi.

Menurutnya, delegasi Qatar dan Hamas meninggalkan Kaherah dan dijangka kembali dalam masa dua hari untuk memuktamadkan syarat perjanjian.

Delegasi AS dan Israel dijangka meninggalkan ibu negara Mesir dalam masa beberapa jam akan datang dan rundingan dijangka berterusan dalam tempoh 48 jam akan datang. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!