Rundingan gencatan senjata capai 'kemajuan ketara'

Khalil Al-Hayya mengetuai delegasi Hamas untuk menyertai pusingan baharu rundingan itu pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi
Khalil Al-Hayya mengetuai delegasi Hamas untuk menyertai pusingan baharu rundingan itu pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

KAHERAH - Rundingan damai di ibu kota Mesir bertujuan untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza pada akhir minggu lalu didakwa mencapai 'kemajuan ketara'.

Perkembangan positif itu dilaporkan rangkaian media tempatan, al-Qahera pada Isnin selepas tiada lagi pertikaian serius terhadap beberapa syarat perjanjian itu.

“Delegasi Qatar dan Hamas yang diketuai Timbalan Ketua gerakan itu di Gaza, Khalil Al-Hayya, telah meninggalkan Kaherah dan dijangka kembali semula dalam tempoh dua hari untuk memuktamadkan kandungan perjanjian tersebut.

“Wakil Israel dan Amerika Syarikat (AS) juga dijangka berbuat demikian,” jelas laporan itu lagi.

Mesir, Qatar dan Washington telah menjadi perantara ketika pusingan rundingan sebelum ini, namun kesepakatan gagal dicapai untuk melaksanakan tempoh bertenang tersebut selepas kali terakhir dikuatkuasakan pada November lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh berkata, mereka bersedia untuk memeterai perjanjian, namun tidak akan menyerah kalah.

Pusingan baharu rundingan itu memfokuskan perjanjian pembebasan tahanan dan memulihkan keadaan di Gaza.

Hamas bagaimanapun mengulangi tuntutan mereka menerusi cadangan pada 14 Mac lalu yang menggesa pengunduran tentera Israel, membenarkan penduduk kembali ke tempat asal mereka dan perjanjian pertukaran tawanan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!