Pesara guru kumpul lebih 200 kad raya diraja, pemimpin negara

Kad raya daripada Sultan Brunei selama 12 tahun berturut-turut antara koleksi Salehuddin.
Kad raya daripada Sultan Brunei selama 12 tahun berturut-turut antara koleksi Salehuddin.
A
A
A

JERANTUT - Lebih 200 kad raya daripada semua raja-raja Melayu di negara ini, Sultan Brunei serta pemimpin-pemimpin negara masih tersimpan rapi oleh seorang pesara guru yang mengumpulnya sejak lebih 20 tahun lalu.

Salehuddin Mat Rasad, 66, di Taman Pedah Jaya di sini berkata, usaha itu dilakukan kerana minat dan cinta mendalam terhadap institusi beraja.

Difahamkan, Salehuddin merupakan dividu menyimpan koleksi kad raya diraja paling banyak di Malaysia setakat ini.

Menurutnya, setiap tahun beliau tidak akan melepaskan peluang untuk menghantar kad raya.

"Saya tidak pernah lupa menghantar kad ucapan hari raya setiap tahun kepada semua raja-raja Melayu termasuk Sultan Brunei.

"Lebih seronok apabila kad saya dibalas dengan kad begitu menarik dan cantik siap ada gambar malah ada ditandatangani sendiri menjadikan ia sangat istimewa," katanya.

Jelas Salehuddin, dalam koleksi tersebut antaranya kad raya Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang disimpan selama 12 tahun berturut-turut.

"Selain itu, saya juga menyimpan kad ucapan lima tahun berturut-turut ketika Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Antara sebahagian koleksi kad dalam simpanan Salehuddin.
Antara sebahagian koleksi kad dalam simpanan Salehuddin.

Salehuddin yang menamatkan tugasnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 pada 2018 berkata, beliau bersama pelajarnya menandatangani kad raya yang dihantar dan setiap kali mendapat balasan ditampal dalam kelas.

Katanya, koleksi kad raya itu juga memberikan makna tersendiri buatnya sebagai rakyat Malaysia.

"Dalam prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara sendiri sudah menggambarkan semangat patriotik sebagai rakyat di negara ini.

"Saya akan berusaha menjaga koleksi kad raya ini sebaik mungkin untuk tatapan generasi seterusnya," tambahnya.

Beliau juga meminati sejarah raja-raja Melayu sejak di bangku sekolah dan banyak membaca buku kesultanan Melayu.

Salehuddin bersama koleksi kad termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Sultan Pahang dan Sultan Brunei.
Salehuddin bersama koleksi kad termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Sultan Pahang dan Sultan Brunei.

Ditanya koleksi kad paling disayangi, Salehuddin memberitahu setiap kad memiliki makna tersendiri.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Sahabat 60-an Pahang dan Pengerusi Persatuan Silat Batin Bambu Rencong mengakui sedih kerana tradisi menghantar kad raya kian pupus berikutan perkembangan teknologi pada masa kini.

"Saya berharap tradisi menghantar kad raya ini dapat diteruskan kerana ia juga tanda ingatan serta memiliki sentimental tersendiri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!