Polis Kedah rampas syabu, ketum bernilai RM730,000

Fisol (tengah) menunjukkan sebahagian dadah dirampas dalam serbuan di Kuala Nerang pada Khamis dan Sabtu lepas.
Fisol (tengah) menunjukkan sebahagian dadah dirampas dalam serbuan di Kuala Nerang pada Khamis dan Sabtu lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan sembilan individu dan merampas lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 130kg daun ketum dianggarkan bernilai RM730,000 dalam serbuan berasingan sekitar Kuala Nerang, Padang Terap, dekat sini, pada minggu lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan lebih kurang jam 10.30 malam, Khamis di sebuah rumah di Kampung Lamdin Jalan Nami di sini.

Katanya, sebuah beg digalas suspek dirampas dalam operasi dilakukan Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Terap.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki jenis syabu dianggarkan seberat lebih 18kg dianggarkan bernilai RM651,600 dan menyita kenderaan jenis BMW 320i yang dianggarkan bernilai RM46,000.

"Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah terbabit didapati memiliki rekod jenayah, selain positif dadah jenis methampetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, polis berjaya menahan enam lagi individu termasuk seorang warga Thailand berusia antara 26 hingga 39 tahun di sebuah rumah di kampung sama lebih kurang jam 11 malam pada hari sama.

Fisol memberitahu, hasil pemeriksaan di bilik stor bahagian tepi rumah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 22.90 gram (g) bernilai RM 7,719 dan merampas alatan untuk menghisap dadah.

"Seterusnya, pemeriksaan lanjut di bahagian belakang rumah menjumpai 18 bungkusan plastik hitam yang berisi daun-daun tumbuhan disyaki daun ketum dianggarkan seberat 130kg," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati kesemua lelaki terbabit positif dadah jenis methampetamine.

"Tiga suspek turut didapati memiliki rekod jenayah," katanya.

Dalam perkembangan sama, ujar Fisol, pihaknya membuat tangkapan ketiga dengan menahan dua lagi lelaki yang keluar dari sebuah kereta jenis Proton Saga warna putih dalam serbuan di kawasan stesen minyak di Kampung Padang Kerasak, mukim Tekai Kanan, dekat sini, lebih kurang jam 6 pagi pada Sabtu.

"Menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan sebuah beg yang dicampak di atas tanah oleh suspek telah menjumpai satu beg berwarna keemasan yang dalamnya terdapat satu bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu,"katanya.

Menurut beliau lagi, ujian air kencing mendapati seorang daripada dua individu itu positif dadah methampetamine dan semakan rekod pula menunjukkan seorang individu ada rekod lampau.

Tambah Fisol, keseluruhan rampasan untuk operasi ketiga dianggarkan seberat lebih 2kg dan nilai rampasan dadah dianggarkan RM74,160.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.