Sebatang lemang, semangkuk rendang untuk asnaf

Borhan (kiri) dan Fadziah (kanan) menyerahkan lemang serta rendang kepada penerima di Taman Perpaduan, Ipoh pada Khamis.
Borhan (kiri) dan Fadziah (kanan) menyerahkan lemang serta rendang kepada penerima di Taman Perpaduan, Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Program Sebatang Lemang Semangkuk Rendang yang dimulakan sejak tahun 2020 tetap diteruskan kerana masih mendapat permintaan daripada anak yatim dan asnaf.

Seorang usahawan, Borhan Mohd Yatim, 53, berkata, pada awalnya inisiatif tersebut tidak mahu diteruskan tahun ini disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan.

Namun katanya, atas permintaan daripada mereka yang memerlukan termasuklah penyumbang, inisiatif itu tetap diteruskan.

“Sudah ada penyumbang yang bagi duit pada kami untuk buat program Sebatang Lemang Semangkuk Rendang tahun ini. Mereka nak berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim dan asnaf ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas mengagihkan lemang dan rendang di Taman Perpaduan dan Pusat Jagaan Budi Mulia Nurul Huda, Tanah Hitam, Chemor di sini pada Ahad.

Tambah Borhan, hanya 30 batang lemang dapat disediakan tahun ini berdasarkan jumlah sumbangan diterima walaupun pada peringkat awal sebanyak 100 batang disasarkan.

Walaupun sedikit, dia tidak kecewa kerana program tetap dapat diteruskan tetapi hanya jumlah penerima berkurangan.

Menurutnya, lemang yang diagihkan itu dibeli daripada usahawan asnaf, manakala rendang daging dimasak sendiri dan setiap rumah akan mendapat sebatang lemang bersama 500 gram rendang daging.

Jelasnya, inisiatif bersama isterinya, Fadziah Mohd Ariffin, 49, itu sekadar mahu memberikan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan untuk merasai juadah hari raya seperti keluarga lain.

Artikel Berkaitan:

“Kami rasa satu kepuasan dapat tengok mereka yang susah ini makan lemang dan rendang macam orang lain sambut raya. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua penyumbang,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Budi Mulia Nurul Huda, Norjidah Abd Manaf berkata, pemberian lemang dan rendang itu turut dinanti-nantikan anak-anak yatim dan asnaf di pusat jagaan tersebut.

“Alhamdulillah, pemberian ini sangat bermakna buat anak-anak di sini. Hari raya mereka lebih bermakna. Semoga program ini dapat dilaksanakan lagi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28