Polis Gua Musang laksana penarikan untuk penyuraian trafik

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang melaksanakan kaedah penarikan sebagai langkah penyuraian trafik di laluan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai. Foto Bernama
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang melaksanakan kaedah penarikan sebagai langkah penyuraian trafik di laluan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang melaksanakan kaedah penarikan sebagai langkah penyuraian trafik di laluan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kaedah berkenaan dilakukan bagi mengatasi masalah pertambahan bilangan kenderaan yang memasuki Kelantan pada cuti perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, kawalan trafik turut dibantu anggota tugas am dan petugas Jabatan Sukarelawan manakala bilangan kenderaan yang memasuki daerah ini mengalami peningkatan sejak semalam.

"Setakat ini, sebanyak tiga kali penarikan telah dilaksanakan sebagai langkah penyuraian trafik, untuk laluan arah bertentangan ditutup dan lokasi yang mengalami kesesakan akan ‘ditarik’ menjadi dua hala," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Choon Foo berkata, penarikan dilakukan pada jarak lima kilometer dalam tempoh 10 hingga 20 minit.

"Penarikan telah dilakukan di dua lokasi iaitu di Kampung Mentara bersempadan Merapoh, Pahang, sebanyak sekali dan di Bandar Utama sebanyak dua kali,” katanya.

Katanya, kaedah itu telah dipraktikkan IPD Gua Musang sejak tiga tahun lepas setiap kali menjelang musim perayaan.

Beliau juga tidak menafikan selain pertambahan kenderaan, kejadian kemalangan jalan raya juga menyebabkan aliran trafik menjadi semakin perlahan petang ini.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat kejadian kemalangan berlaku di Gua Sejuk berhampiran Felda Chiku 1, menyebabkan laluan tidak boleh dilalui di kawasan itu petang tadi.

"Insiden berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28