Padah ubah suai ekzos, tiga motosikal kena sita

Antara motosikal yang diperiksa dalam operasi di Bukit Ampang Saujana, pada Sabtu.
Antara motosikal yang diperiksa dalam operasi di Bukit Ampang Saujana, pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Tiga motosikal disita dalam Operasi Motosikal di Bukit Ampang Saujana, di sini pada Sabtu kerana melakukan ubah suai ekzos.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, enam individu telah diperiksa dan 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Kita mengesan kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan juga kesalahan lain.

"Sebanyak tiga buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 6 (4) akta sama kerana melakukan pengubahsuaian ekzos yang melampau dan brek tidak berfungsi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, seramai 15 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah menjalankan operasi bermula jam 11 malam hingga 3 pagi.

"Kesemua kenderaan yang disita itu dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, operasi rutin tersebut seperti kebiasaannya lebih memfokuskan kepada motosikal.

"Ia kerana kenderaan berkenaan sering kali dilihat melakukan pengubahsuaian struktur, terutamanya pada ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!