Drama padang 'koyak' Stadium Bukit Jalil

Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama
Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama
A
A
A

BAGAI drama bersiri, isu kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kembali menghangatkan arena bola sepak tempatan, minggu lalu.

Warganet dan media arus perdana cuba mengorek rahsia bagi mengetahui tahap kesediaan gelanggang keramat Malaysia itu untuk berdepan Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 26 Mac lepas.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk menggunakan dron untuk melihat keadaan sebenar.

Didapati seakan-akan ada kesan tampalan rumput di beberapa bahagian padang susulan konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari lepas.

Malah, keadaan padang yang kurang memuaskan itu mengundang resah kedua-dua pengendali pasukan, Kim Pan-gon dan Jaroslav Silhavy kerana menyukarkan pemain untuk beraksi, selain boleh mengundang kecederaan.

Ternyata resah mereka menjadi realiti apabila pemain Oman, Omer Al Malki cedera ‘diragut’ rumput yang tercabut, malah kecederaan Azam Azmi Murad juga dikaitkan dengan situasi sama sehingga pemain muda itu terpaksa diusung keluar.

Kesudahannya skuad Harimau Malaya terpaksa akur tewas buat kali kedua berturut-turut menerusi jaringan sama 0-2.

Biarpun tonggak tengah negara, Stuart Wilkin tidak mahu menyalahkan padang di atas kekalahan itu kerana para pemain kedua-dua pasukan ‘menari’ di pentas sama, namun mana mahu letak muka. Maruah Malaysia di mata tetamu luar negara.

Artikel Berkaitan:

Insiden kerosakan padang SNBJ bukan perkara baharu.

Episod pertama bermula ketika Kejohanan Pestabola Merdeka Oktober lalu apabila pemain India membuat kerja sambilan meletakkan kembali rumput yang tercabut.

Mujur dalam aksi final kejohanan itu yang menemukan Malaysia dan Tajikistan pada 17 Oktober, kerosakan padang pada tahap minimum.

Begitu juga ketika aksi Malaysia menentang Kyrgyzstan bulan lalu, keadaan padang melegakan peminat.

Namun, episod padang ‘koyak’ berulang semasa final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember lalu.

Kerosakan padang gara-gara konsert kumpulan Coldplay di stadium berkenaan pada 22 November lepas.

Bukan mahu menuding jari mencari salah, namun jalan penyelesaian tuntas perlu diusahakan bagi mewujudkan situasi menang-menang.

Ia melibatkan pemegang taruh - Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Stadium Nasional (PSM) dan khalayak yang merupakan pengguna venue keramat skuad Harimau Malaya itu.

Difahamkan satu lagi konsert bakal berlangsung di SNBJ iaitu Hearts of Harris 6.0 pada 25 Mei depan dan Malaysia akan melayan kunjungan Taiwan dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di venue sama pada 11 Jun.

Dalam tempoh lebih dua minggu selepas dihenyak dengan konsert timbul persoalan, bersediakah padang menerima aksi bola sepak pula?

PSM mungkin boleh merisik kaedah digunakan Singapura apabila padang berada dalam keadaan baik selepas ia digunakan untuk konsert.

Sebagai rekod, aksi kelayakan antara Singapura dan China di Singapore Sports Hub adalah pada 21 Mac, manakala konsert Taylor Swift: The Eras Tour hanya berakhir pada 9 Mac selepas enam malam ia diadakan.

Begitu juga dengan padang negara jiran - Stadium Rajamangala yang menjadi gelanggang rasmi Thailand berada pada tahap terbaik bagi menyambut kehadiran Korea Selatan untuk aksi kelayakan Piala Dunia bulan lepas.

Laman All Things Thai Football di aplikasi X berkongsi keadaan padang stadium tersebut yang baru saja digantikan dengan rumput baharu selepas mereka menganjurkan konsert artis antarabangsa, Coldplay pada Februari lalu.

Malah pelakon terkenal, Azhar Sulaiman turut mencadangkan agar PSM membina platform atau struktur jambatan di atas rumput untuk mengelakkan masalah kerosakan padang berulang.

Tepuk dada tanya PSM. Bola kini di kaki Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sama ada mahu kekal beraksi di SNBJ pada Jun depan atau berpindah ke venue lain di Terengganu atau Johor.

* Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28