Nahas tujuh kenderaan: Kereta terbabas dipercayai punca kemalangan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kemalangan melibatkan tujuh kenderaan dekat Kilometer 452.6 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang terbabas sebelum melintang di tengah jalan pada lorong kanan lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.09 malam.

"Sebuah kereta jenis Honda Accord dipercayai terbabas dan melintang di tengah jalan sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda.

"Empat lagi kenderaan lain termasuk sebuah bas ekspres dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar pacuan empat roda terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa maut merupakan lelaki warga tempatan berumur 27 tahun yang juga pemandu pacuan empat roda terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa yang parah adalah penumpang pacuan empat roda serta pemandu dan penumpang Honda Accord, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana individu atau saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, seorang maut, dua parah manakala enam individu cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan dekat Kilometer 452.8 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!