Seorang maut, lapan cedera nahas tujuh kenderaan

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dekat Kilometer 452.8 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan(PLUS) di sini pada Jumaat.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dekat Kilometer 452.8 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan(PLUS) di sini pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang maut, dua parah manakala enam individu cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan dekat Kilometer 452.8 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan(PLUS) di sini pada Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 11.37 malam.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan.

"Kemalangan melibatkan lima kereta, satu pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres di lokasi Lebuhraya Plus menghala ke arah selatan berhampiran Hospital Sungai Buloh itu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kerja menyelamat mangsa kemudiannya dijalankan di lokasi kejadian.

"Jumlah keseluruhan mangsa terlibat termasuk penumpang bas ekspres berkenaan adalah seramai 38 individu.

"Seorang mangsa yang maut dan dua lagi cedera parah masing-masing merupakan pemandu dan penumpang sebuah pacuan empat roda dan sebuah kereta manakala enam lagi mangsa lain mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pemandu serta 24 penumpang bas ekspres terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Seorang mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Dua mangsa cedera parah serta enam individu cedera ringan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi tamat pada jam 1.15 pagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28