'Parasit politik jangan salahkan sesiapa jika diambil tindakan'

Kor Ming (tiga dari kiri) bersama-sama penerima sumbangan sempena Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama DUN Kepayang di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu.
Kor Ming (tiga dari kiri) bersama-sama penerima sumbangan sempena Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama DUN Kepayang di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Mana-mana individu yang mencetuskan suasana tidak harmoni di negara ini tidak wajar menyalahkan pihak berkuasa apabila tindakan diambil.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

Menurutnya, tanpa keharmonian dan perpaduan kaum, pembangunan ekonomi sukar untuk digerakkan di negara ini.

"Maka saya meminta semua pihak khususnya pada bulan Ramadan yang suci ini, sentiasalah menjaga adab, membela perpaduan dan keharmonian.

"Oleh kerana itu, mana tukang bakar atau parasit politik yang suka menghasut, apabila tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa, jangan salahkan sesiapa kerana amaran telah diberi, teguran telah diberi tetapi masih ada pihak yang berdegil," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, mana-mana pemimpin tanpa mengira jawatan perlu menerima tindakan atas sebarang perbuatan dilakukan mengikut lunas undang-undang negara.

"Saya harap selepas tindakan diambil, biarlah mahkamah membuat keputusan sama ada salah atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak wajib menghormati institusi kehakiman negara yang bebas daripada campur tangan politik. Inilah doktrin rukun negara kita yang wajib dijulang oleh semua pihak," katanya.

Jelas Kor Ming, semua pihak tidak sepatutnya melayan sebarang isu remeh seperti stoking atau bak kut teh kerana ada agenda yang lebih besar iaitu membangunkan negara.

Katanya, titah Yang di-Pertuan Agong harus dijadikan panduan untuk semua pihak akur dan tidak berpolemik mengenai isu-isu yang menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!