Kempen bayar zakat dalam talian mudahkan umat Islam

Beberapa pengunjung berpeluang membayar zakat fitrah dan harta secara dalam talian semasa program Iftar Ala Madinah@Karangkraf pada Jumaat.
Beberapa pengunjung berpeluang membayar zakat fitrah dan harta secara dalam talian semasa program Iftar Ala Madinah@Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan kempen membayar zakat fitrah secara dalam talian bagi memudahkan umat Islam melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebelum tiba musim perayaan.

Ketua Divisyen Kutipannya, Muhd Fikri Naim Harun berkata, inisiatif berkenaan bagi menggalakkan orang ramai menunaikan zakat dan meraih pahala yang berganda serta mampu melaksanakannya dalam bulan Ramadan.

“Hari ini merupakan Jumaat terakhir bagi bulan Ramadan, jadi pembayaran zakat fitrah itu boleh menggandakan pahala masing-masing.

“Selain dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas dan boleh menjimatkan masa, pembayaran dalam talian juga boleh dilakukan pada bila-bila masa serta di mana sahaja.

“Waktu afdhal tunai zakat fitrah itu adalah sebelum masuk solat sunat Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian di Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di sini pada Jumaat.

Kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan pek kurma yang menunjukkan kod qr bagi memudahkan pengunjung membayar zakat fitrah atau harta secara dalam talian di Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024, di sini pada Jumaat.

Program berkenaan melabuhkan tirai dengan kehadiran pengunjung melebihi 2,000 bagi memberi peluang dan merasai kegembiraan berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, LZS turut memberi sumbangan juadah sampingan untuk berbuka puasa iaitu sebanyak 500 kuih tepung pelita dan 500 lagi popia basah yang disediakan oleh usahawan asnaf LZS kepada pengunjung terawal.

Pengunjung berjaya menjawab sesi soal jawab yang berlangsung di pentas utama Kompleks Kumpulan Karangkraf semasa Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024.
Pengunjung berjaya menjawab sesi soal jawab yang berlangsung di pentas utama Kompleks Kumpulan Karangkraf semasa Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024.

Mengulas lanjut mengenai pembayaran zakat secara dalam talian, tambah Muhd Fikri Naim, LZS menyasarkan kenaikan sebanyak RM3 juta iaitu RM40 juta bagi pembayaran zakat fitrah berbanding RM37 juta pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, kadar zakat fitrah yang ditetapkan di Selangor adalah mengikut kadar beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21.

“LZS hanya dapat mengumpul lebih kurang RM30 juta sahaja sekiranya populasi umat Islam yang berada di Selangor sekitar 60 peratus itu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan membayar minimum RM7. Jumlah tersebut untuk memenuhi keperluan 70,000 keluarga daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima bantuan Hari Raya. Sekiranya RM30 juta itu bahagi dengan keluarga ini, mereka hanya akan dapat RM400.

“Kita sendiri pun rasa tidak cukup, apatah lagi mereka yang tiada wang lain atau memang dalam kekurangan. Oleh itu, saya amat menyarankan umat Islam untuk bayar zakat mengikut kadar beras yang dimakan.” jelasnya.

Kemeriahan hari terakhir Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bertempat di Dataran Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Kemeriahan hari terakhir Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bertempat di Dataran Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Tambah Muhd Fikri Naim, kolaborasi antara LZS bersama program berkenaan pada tahun lalu menunjukkan impak yang positif menyebabkan pihaknya melaksanakan lagi kempen itu pada tahun ini.

Jelasnya, pek kurma yang disertakan kod qr pembayaran zakat dan aktiviti soal jawab dilakukan sementara menunggu waktu berbuka puasa di program tersebut bagi mempromosikan kempen yang dijalankan berkenaan.

“Kempen ini kita fokuskan beri, menang dan menerima seperti alah beli, menang memakai,” ujarnya.