MyCARE bantu rawat 100 penduduk Gaza cedera dibom

MyCARE membuka Pusat Rawatan Kecemasan di Gaza, Palestin dua minggu lalu bagi merawat penduduk Gaza yang cedera dibom tentera Israel.
MyCARE membuka Pusat Rawatan Kecemasan di Gaza, Palestin dua minggu lalu bagi merawat penduduk Gaza yang cedera dibom tentera Israel.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sukarelawan perubatan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) kini membuka Pusat Rawatan Kecemasan di Gaza, Palestin untuk merawat kira-kira 100 penduduk setempat cedera akibat dibom tentera Israel.

Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar berkata, pusat tersebut yang dibuka sejak dua minggu lalu semakin bertambah ketika ini yang melibatkan pesakit daripada pelbagai peringkat usia dan tahap kecederaan.

"Situasi ketika ini bilangan pesakit terus bertambah dan pesakit lama pula masih perlukan rawatan ulangan. Kita akan cuba santuni seberapa ramai pesakit.

"Usaha ini akan diteruskan dengan kerjasama pegawai perubatan bertauliah selama 8 jam sehari sebagai bantuan kecemasan dan rawatan ulangan. Pusat rawatan ini akan terus beroperasi membantu penduduk Gaza," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Air bersih disediakan pihak MyCARE hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk digunakan di kem-kem pelarian di Gaza untuk Ramadan kali ini.
Air bersih disediakan pihak MyCARE hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk digunakan di kem-kem pelarian di Gaza untuk Ramadan kali ini.

Beliau berkata, selain bantuan itu, pihak MyCARE terus menyumbangkan bekalan makanan dan minuman sepanjang Ramadan di kem-kem pelarian di Gaza bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan makanan dan mengelak berlakunya kebuluran.

"MyCARE melaksanakan bantuan ini secara berterusan di Jabalia dan Betlahya, utara Gaza selain di Banda Raya Gaza termasuk di Baza tengah, Deirbalah serta selatan Gaza termasuk Rafah dan Khanyounis.

"Terlalu ramai penduduk yang telah kekurangan makanan dan air bersih. MyCARE cuba penuhi keperluan mereka. Terbaru kita juga menghantar bantuan air-air besih menggunakan lori dan kereta kuda," ujarnya yang juga Penasihat MyCare Johor.

Artikel Berkaitan:

Penduduk di kem pelarian di Gaza mengambil bekalan air bersih yang disumbangkan rakyat Malaysia menerusi usaha MyCARE bagi memastikan mereka terus mendapat bekalan air bersih sepanjang Ramadan.
Penduduk di kem pelarian di Gaza mengambil bekalan air bersih yang disumbangkan rakyat Malaysia menerusi usaha MyCARE bagi memastikan mereka terus mendapat bekalan air bersih sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, pihaknya sedang menjalankan Kempen 1 Hari RM10 Sumbang ke Tabung Ramadan Palestin dalam 10 malam terakhir Ramadan.

"Saudara kita di Gaza sedang dikepung dengan pelbagai penyakit dan kelaparan. Tiada makanan untuk berbuka. Boleh salurkan sumbangan anda melalui MyCare untuk makanan berbuka pada Ramadan ini dan bangunkan semula Gaza.

"MyCare ada wakil di Gaza yang terdiri daripada penduduk tempatan untuk memastikan makanan sampai ke penduduk yang kelaparan. Ringankan beban mereka dan gandakan pahala," katanya.

Bagi mereka yang mahu menyumbang boleh menggunakan akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad: CIMB Islamic dengan nombor akaun 8602 135 592 atau klik ke link ini https://mycare.qrd.by/dzk dan kongsi slip dengan 60197342539 (Dr Mohd Zin).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28