Empat menteri hadir di mahkamah beri keterangan pertikaian pemilihan umum

Dari kiri; Tri Rismaharini, Sri Mulyani, Erlangga Hartarto dan Muhadjir Effendy hadir perbicaraan pertikaian keputusan pilihan raya di mahkamah pada Jumaat. Foto AFP
Dari kiri; Tri Rismaharini, Sri Mulyani, Erlangga Hartarto dan Muhadjir Effendy hadir perbicaraan pertikaian keputusan pilihan raya di mahkamah pada Jumaat. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Empat menteri Kabinet Indonesia hadir di Mahkamah Konstitusi pada Jumaat bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes Pertikaian Hasil Pemilihan Umum (PHPU) Presiden dan Naib Presiden 2024.

Empat menteri berkenaan adalah Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati; Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy; Menteri Koordinator Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto dan Menteri Sosial, Tri Rismaharini.

"Agenda persidangan mahkamah pagi ini adalah untuk mendengar keterangan daripada empat kementerian tadi.

"Masing-masing dipersilakan memberi keterangan lebih kurang 20-25 minit sebelum para hakim bertanyakan soalan,” kata Ketua Mahkamah Konstitusi Hakim Suhartoyo.

Muhadjir yang pertama dipanggil memberi keterangan, menjelaskan pengagihan bantuan sosial pemerintah tidak ada kaitan dengan pemilihan tetapi sebahagian pelan pembasmian kemiskinan.

Peruntukan yang diluluskan Dewan Perwakilan Rakyat untuk program perlindungan sosial serta bantuan makanan diuruskan oleh Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas), katanya.

Airlangga mengaitkan pengagihan bantuan sosial susulan kesan El Niño terhadap pengeluaran makanan dan kenaikan harga, mendorong campur tangan pemerintah meningkatkan kuasa beli pengguna.

Sri Mulyani berkata, sebahagian bajet Januari-Februari untuk bantuan sosial kepada jutaan keluarga dan subsidi makanan serta bajet 2024 digubal sebelum penamaan calon presiden dan naib presiden.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan bajet juga konsisten untuk perlindungan sosial dari 2019 hingga 2024, kecuali pada 2023 disebabkan penstrukturan semula kerjasama antara Kementerian Sosial dan bank.

Tri Rismaharini mendedahkan tahun fiskal 2023, 98.65 peratus daripada peruntukan kementerian untuk perlindungan sosial, manakala 95.46 peratus diperuntukkan untuk bantuan sosial pada 2024.

Peruntukan ke kementerian juga menurun tahun ini daripada 2023, tambahnya.

Perbicaraan kes PHPU bermula 27 Mac dan mahkamah dijangka membacakan keputusan pada 22 April.

Di awal perbicaraan, dua pasangan calon yang kalah dan barisan peguam masing-masing di hadapan panel hakim mendakwa proses pemilihan, yang dimenangi Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka, dicemari pelanggaran dan penipuan.

Mahkamah diminta membatalkan keputusan, mengarahkan pengundian dijalankan semula dan langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan sumber negara dan bantuan sosial bagi memihak kepada mana-mana calon.

Pasukan undang-undang Prabowo-Gibran menolak semua dakwaan yang dianggap tidak berasas kerana berdasarkan andaian serta kekurangan bukti.

Prabowo-Gibran memperoleh 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi di Pemilihan Presiden dan Naib Presiden.

Pada 28 Mac, pasangan calon presiden dan naib presiden yang kalah, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD memohon agar mahkamah memanggil beberapa menteri.

Hakim Suhartoyo dan tujuh lagi hakim yang mendengar perbicaraan menolak permohonan itu pada Isnin, namun mesyuarat panel hakim pada Selasa memutuskan para menteri perlu hadir untuk memberi keterangan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!