Tiga kapal Vietnam ceroboh perairan Pantai Timur ditahan

Bot nelayan asing Vietnam ditahan selepas dikesan mencerobohi perairan negara pada petang Khamis.
Bot nelayan asing Vietnam ditahan selepas dikesan mencerobohi perairan negara pada petang Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan tiga kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kapal berkenaan ditahan pada kedudukan 70.6 batu nautika Tenggara dari muara Kuala Terengganu.

Menurutnya, kapal berkenaan ditahan oleh kapal peronda maritim yang ketika itu menjalankan Operasi Naga Barat sekitar jam 3.30 petang pada Khamis.

"Seramai 18 orang kru warganegara Vietnam bersama tekong bot berusia lingkungan 24 hingga 61 tahun diperiksa dan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah serta tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Tiga bot dan kru itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, tekong bot boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta manakala kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sebaik ditahan, bot dan kru diiring masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk diserahkan kepada pengawai penyiasat.

"Kita menganggarkan nilai barangan serta bot yang dirampas sekitar RM4.5 juta," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian kru yang ditahan atas bot pukat tunda Kelas C selepas didapati melanggar syarat lesen ketika menangkap ikan di perairan Pulau Tioman, Rompin pada Khamis
Sebahagian kru yang ditahan atas bot pukat tunda Kelas C selepas didapati melanggar syarat lesen ketika menangkap ikan di perairan Pulau Tioman, Rompin pada Khamis

Dalam perkembangan sama, katanya Pusat Maritim Negeri Terengganu merekodkan lima tangkapan bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negeri Terengganu pada awal Mac sehingga Khamis lalu.

"Kita jangka jumlah rampasan dalam tempoh bermula Mac sehingga tangkapan semalam (Khamis) bernilai RM7.5 juta.

"Maritim Negeri Terengganu akan terus memperkasakan lagi tugas penguatkuasaan pada musim perayaan ini dan membanteras pencerobohan bot nelayan asing dari terus mengaut hasil laut negara," katanya.

Maritim Malaysia tahan empat bot pukat tunda, langgar syarat lesen

Sementara itu di KUANTAN, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan empat bot pukat tunda Kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot tempatan terbabit ditahan jam 11.30 pagi di lokasi kira-kira enam hingga sembilan batu nautika timur perairan Pulau Tioman.

Menurutnya, dua bot itu dari Pahang manakala dua lagi dari Tanjung Sedili, Johor.

"Bot terbabit dikesan anggota Maritim Malaysia Pahang ketika menjalankan rondaan Op Makmur, Ops Naga Barat dan Op Khas Pagar Laut di lokasi terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat bot nelayan tempatan terbabit menjalankan aktiviti perikanan di kawasan kurang dari 12 batu nautika dari pantai atau pulau.

"Susulan itu, 19 kru bot berkenaan ditahan termasuk sembilan warga tempatan, empat warga Myanmar dan enam warga Indonesia berumur dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Mazlan berkata, kesemua kru yang ditahan akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan kurang dari 12 batu nautika dari pantai atau pulau dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

"Bot dan kesemua kru termasuk tekong yang ditahan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut dianggarkan sebanyak 2.5 tan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang yang ditetapkan terutamanya aktiviti pencerobohan bot pukat tunda di kawasan zon nelayan kecil.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!