UTM sedia 19 bas untuk 722 penuntut pulang beraya

Dr Ahmad Fauzi (dua kiri) menyampaikan pek makanan untuk bersahur kepada penuntut sebelum menaiki bas untuk pulang berhari raya sempena Program Jom Balik Raya di Dataran UTM, Skudai Johor Bahru, pada Khamis.
Dr Ahmad Fauzi (dua kiri) menyampaikan pek makanan untuk bersahur kepada penuntut sebelum menaiki bas untuk pulang berhari raya sempena Program Jom Balik Raya di Dataran UTM, Skudai Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan 19 bas secara percuma untuk membawa 722 penuntut mereka pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri kali ini.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, Program Jom Balik Raya yang bermula pada malam Khamis itu ditanggung sepenuhnya pihak universiti.

"Program ini dijalankan selama dua hari iaitu malam tadi dan hari ini. Proses penghantaran pulang penuntut terbahagi kepada tiga zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Pantai Timur melibatkan sembilan negeri di semenanjung.

"Inisiatif ini merupakan tanda keprihatinan UTM dalam soal kebajikan penuntut, dalam masa sama turut meringankan beban mereka untuk pulang beraya bersama keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita selepas progam itu di Dataran UTM, Skudai di sini pada malam Jumaat.

Ahmad Fauzi berkata, program tersebut dianjurkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Unit Pengurusan Kenderaan (UTM Fleet) dan barisan Persatuan Anak Negeri UTM.

Katanya, kos keseluruhan program tersebut berjumlah RM41,183 merangkumi kos tiket bas dan kit juadah sahur bagi penuntut yang terlibat.

Sementara itu, beliau memberitahu kaedah pembelajaran secara dalam talian yang bermula pada Jumaat bakal memberi ruang kepada seramai 22,000 pelajar UTM pulang ke kampung halaman lebih awal bagi membuat persiapan Aidilfitri.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: