Bila pelabur emas terpaksa 'mengemis' wang sendiri

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

RAMAI pelabur mula marah-marah dan berasa sangsi terhadap kredibiliti sebuah syarikat yang terlibat dalam urusan perniagaan emas.

Pada awalnya, mereka menjadi ahli dan membeli emas ketika harganya jatuh, sehingga ada yang menghabiskan wang simpanan beratus ribu ringgit dengan harapan dapat pulangan melimpah ruah.

Ketika harga emas melonjak ke paras setinggi AS$2,135 seauns pada awal Disember lalu, beratus-ratus ribu ahli yang berdaftar di seluruh negara tidak henti-henti membuat jualan dan optimis mendapat keuntungan berlipat ganda.

Bagaimanapun, timbul isu apabila hasil emas yang dijual atau terminate mengambil masa terlalu lama untuk masuk ke dalam akaun bank pelabur.

Sehingga artikel ini ditulis, masih ramai pelabur yang belum nampak ‘bayang’ wang mereka walaupun pihak pengurusan berjanji menyelesaikan semua pembayaran sebelum 31 Mac 2024.

Syarikat yang turut disertai ramai figura terkenal tanah air itu juga membuat beberapa alternatif lain bagi meredakan keresahan ahli dengan menawarkan saham.

Namun, ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah apabila Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan pengasasnya supaya segera menamatkan penawaran saham tersebut pada 23 Mac lalu.

Siapa sebenarnya yang perlu dipersalahkan dalam hal ini?

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu ramai akan menuding jari kepada orang ramai yang menjadi ahli kerana tidak berfikir panjang membuat pelaburan di platform yang masih tidak dapat disahkan kestabilannya.

Jika diteliti, seperti ada yang tidak kena pada sistem pentadbiran syarikat tersebut.

Sistem yang digunakan syarikat itu juga tidak meyakinkan apabila ramai ahli mengadu sukar menghubungi khidmat pelanggan, bahkan talian telefon disediakan sudah tidak berjawab.

Kesannya kini, pelabur terpaksa ‘mengemis’ wang sendiri sehingga berbulan-bulan lamanya.

Yang tinggal kini hanyalah harapan agar wang mereka dapat dikembalikan semula.

Kejadian sebegini perlu dijadikan iktibar kepada orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terperdaya sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

Tidak dinafikan, mereka yang menyertai pelaburan pasti mengimpikan untuk menjadi kaya.

Namun, ingatlah bahawa kemewahan bukan boleh datang sekelip mata.

Sebaliknya perlu disusuli dengan usaha keras dan bukan setakat ‘goyang kaki’ mencongak untung.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28