Pengarah syarikat tiada rekod, bukti dakwaan bagasi RM500,000 milik mereka

Hussein. Laporan Sinar Harian
Hussein. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat kayu balak yang mendakwa pemilik bagasi mengandungi wang RM500,000 yang ditemui di pusat beli-belah di Damansara pada 19 Mac lalu sudah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan tampil memberikan keterangan pada jam 5 petang Sabtu.

"Individu berkenaan mendakwa tidak menyedari bagasi mengandungi wang diambil dari rumah rakannya yang terletak di tingkat atas pusat beli-belah itu tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.

"Bagasi (yang mengandungi wang) itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hussein berkata, individu terbabit merasakan dia sudah membawa masuk bagasi berkenaan bersama sebuah lagi beg ke dalam kenderaannya sebelum pulang ke rumah.

"Namun dia hanya menyedari bagasi berisi wang itu tiada di dalam kereta apabila hendak mengambilnya," katanya.

Begitupun, Hussein berkata, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya.

"Siasatan terhadap tuntutan itu masih diteruskan. Prosedur selepas ini adalah individu terbabit perlu datang semula untuk memberi keterangan lanjut termasuk sumber wang terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Mac lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada jam 8 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!