X

Kindly register in order to view this article
!

'Zii Jia harus jadikan Chong Wei sifu'

Zii Jia kini hanya menanti masa bagi menggantikan tempat Chong Wei. - Foto BAM
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini hanya menanti masa bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei yang membuat keputusan 'menggantung raket' tahun lalu.

Bekas jaguh badminton negara, Datuk James Selvaraj berkata, Zii Jia seharusnya menjadikan Chong Wei sebagai idolanya yang secara tidak langsung mampu memperbaiki rentak permainan pemain muda berusia 21 tahun itu.

Bagaimanapun, James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberitahu, Zii Jia hanya boleh mengikuti jejak langkah Chong Wei dan bukannya menjadi seperti bekas pemain nombor satu dunia itu.

"Zii Jia harus meletakkan Chong Wei sebagai gurunya dan berazam untuk mengikut jejak kejayaan Chong Wei. Namun, dia tidak boleh disamakan dengan Chong Wei kerana mereka berada dalam era berbeza.

"(Bekas pemain badminton negara) Tan Aik Huang, Ng Boon Bee juga merupakan pemain terbaik pada zaman mereka. Begitu juga dengan (legenda Indonesia) Rudy Hartono, kemudian Lim Swee King, Hastomo Arbi sehinggalah Taufik Hidayat. Semuanya adalah dari era yang berbeza," katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Piala Thomas: BAM sedia beri ruang kepada pemain pro

Selvaraj berkata demikian bagi mengulas prestasi semasa 'pembunuh gergasi' itu yang kini disandarkan harapan bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Chong Wei.

Pada Masters Malaysia 2020 yang berakhir di Arena Axiata, Bukit Jalil Ahad lalu, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-14 dunia terpaksa akur tumbang di tangan jaguh Jepun, Kento Momota di pentas separuh akhir.

Mengulas kekalahan tersebut, Selvaraj berkata, Zii Jia harus menggunakan kepakarannya melakukan cross court smash bagi memerangkap pemain nombor satu dunia itu.

"Dalam aksi itu, Zii Jia tidak menggunakan kekuatan dirinya selain buat beberapa kesilapan mudah. Saya harap dia dapat belajar di sebalik kekalahan tersebut.

"Zii Jia masih muda dan perjalanannya dalam memburu kejayaan masih panjang. Saya percaya dia mendapat pengalaman berguna apabila beraksi menentang pemain-pemain handalan dunia.

"Kita sebagai peminat badminton negara seharusnya memberi kepercayaan kepada Zii Jia membuktikan kemampuannya. Jangan kita terlalu mendesak untuk melihat pencapaian Zii Jia setanding Chong Wei," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!