Budak 9 tahun sanggup berhenti sekolah demi sara keluarga

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kisah seorang kanak-kanak perempuan yang menjual tisu di jalanan demi membantu ibunya yang cacat penglihatan mengundang sebak di kalangan warga maya yang membacanya.

Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang cikgu, Mohd Fadli Salleh di laman Facebooknya yang menceritakan kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berkorban diri turun ke jalanan dan menjual tisu bagi membantu menyara keluarganya.

Lebih menyedihkan, upah ibunya yang hanya bekerja sebagai tukang urut tidak cukup yang menyebabkan ketiga-tiga anaknya yang berusia di antara 16 tahun sehingga 9 tahun tidak lagi bersekolah.

"Ibunya Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan. Mampu jadi tukang urut sahaja. Itu pun gajinya yang tidak besar mana. Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM) dan Baitulmal sebelum ini mereka dapat, namun untuk tahun ini katanya masih dalam proses.

"Hari ini, aku pergi ziarah, jumpa mereka dan berbincang dengan cara baik. Kami pergi bukan untuk menghakimi kehidupan mereka, bukan juga untuk menjatuhkan hukuman, jauh sekali nak mengecam dan menyindir atau menghina," tulisnya.

Mohd Fadli berjumpa dengan keluarga tersebut di rumahnya, semalam.
Mohd Fadli berjumpa dengan keluarga tersebut di rumahnya, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Fadli berkata pihaknya telah menawarkan bantuan kewangan dan barangan dapur setiap bulan demi memastikan kesemua anaknya bersekolah dan tidak lagi menjual tisu demi menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia juga akan memastikan bantuan daripada Baitumal dan JKM akan kembali dinikmati oleh mereka selain membantu membayarkan sewa rumah tiga bulan pertama buat keluarga itu.

"Ini demi memastikan anak perempuan mereka yang berusia 9 tahun itu kembali ke sekolah dan tidak lagi mengemis di jalanan. Aku sangat risaukan anak perempuannya yang menjual tisu itu.

"Dah ada beberapa laporan aku terima, budak perempuan menjual tisu dan akhirnya menjual badan untuk RM5-RM10 kepada pemandu teksi dan Bangla sebelum ini. Aku tak nak peristiwa serupa menimpa anak yang comel ini.

"Penawaran ini perlu untuk menggantikan pendapatan yang hilang. Alhamdulillah, mereka bersetuju. Rasa nak sujud syukur tadi," katanya.

Mohd Fadli berkongsi kisah kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berkorban diri turun ke jalanan dan menjual tisu bagi membantu menyara keluarganya.
Mohd Fadli berkongsi kisah kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berkorban diri turun ke jalanan dan menjual tisu bagi membantu menyara keluarganya.

Sementara itu, perkongsian Mohd Fadli kini tular di media sosial yang meraih 4,800 tanda suka dan 238 warga maya berkongsi kisah tersebut

Rata-rata netizen bersimpati atas nasib yang diterima oleh kanak-kanak tersebut di samping berterima kasih kepada cikgu tersebut kerana telah banyak membantu golongan yang memerlukan.

"Kisah ini betul-betul buat aku sedih. Tak sangka masih ada lagi insan yang hidup betul-betul dalam keadaan daif. Terima kasih cikgu Mohd Fadli kerana telah banyak membantu masyarakat khususnya anak-anak sekolah yang memerlukan bantuan," tulis Rahmayana di Facebook.