120 tempat untuk anak ATM jalani latihan industri di Pharmaniaga

Mohamed Khaled (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan kebajikan kepada anak kurang upaya warga ATM semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Mohamed Khaled (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan kebajikan kepada anak kurang upaya warga ATM semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 120 tempat akan diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad bagi program latihan industri kepada graduan anak-anak anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pharmagrad.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anak-anak anggota dan veteran ATM yang merupakan graduan dalam bidang-bidang seperti farmaseutikal, biomedikal, kimia, penyelidikan dan pembangunan, kejuruteraan, logistik, teknologi maklumat serta kewangan akan berpeluang menjalani latihan industri selama lapan bulan bersama-sama dengan Pharmaniaga.

Menurutnya, mereka juga ditawarkan untuk menjalani Professional Training and Education for Growing Enterprenuers-Ready To Work atau PROTEGE-RTW dengan kerjasama BHPetrol.

"PROTEGE-RTW ini merupakan satu program yang menggabungkan beberapa rangkaian inisiatif bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan menganggur serta terbuka kepada graduan anak-anak ATM dalam semua bidang," katanya semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Hotel Royal Chulan di sini pada Rabu.

Mohamed Khaled berkata, PROTEGE-RTW itu akan melibatkan antara lain, latihan penempatan dan bimbingan bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam tempoh lapan hingga 12 bulan.

Selain itu, katanya, BHPetrol akan memperuntukkan 22 tempat setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 66 penempatan.

"Pemilihan calon akan dibuat berdasarkan kriteria yang telah digariskan mengikut kesesuaian.

"Bilangan ini akan disemak semula mengikut keperluan pada tahun-tahun yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Harapan kita, melalui rangkaian program ini, agenda kebajikan ATM dan keluarga bukan sahaja akan diperkemas, namun dipelbagaikan dengan pendekatan yang lebih inovatif dan bersesuaian dengan kumpulan sasar," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Nordin berkata, Mindef telah melaksanakan tiga program yang memberi manfaat secara langsung kepada ahli keluarga ATM iaitu kementerian melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menyampaikan Bantuan Kebajikan Anak Kurang Upaya warga ATM yang memperuntukkan sumbangan sebanyak RM300,000.

Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM300 akan diberikan kepada anak-anak kategori orang kurang upaya (OKU) daripada warga ATM yang masih bersekolah atau tidak bersekolah dan sebanyak RM500 akan diberikan kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.

"Kedua, Pharmaniaga Berhad yang merupakan anak syarikat di bawah Mindef akan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar-pelajar sekolah tahfiz dan anak yatim ATM berjumlah RM22,500.

Mindef tekan aspek kebajikan anggota, veteran

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Mindef turut menekankan agenda kebajikan anggota dan veterannya.

Katanya, ia termasuklah peruntukan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang meningkat 100 peratus iaitu kepada RM400 juta berbanding hanya RM200 juta tahun lalu.

"Saya nekad untuk memastikan program pembinaan baharu dan senggaraan RKAT akan disempurnakan dengan sebaiknya.

"Kita sedar, golongan perajurit dan anggota pertahanan kita tidak bergadai nyawa di perbatasan semata-mata untuk memastikan negara aman dan berdaulat, namun, mereka mahu memastikan Malaysia menjadi rumah terbaik untuk semua," katanya.

Beliau berkata, Mindef turut memikul amanah untuk menjaga kebajikan anggota pertahanan yang sudah bersara.

Katanya, kumpulan veteran adalah salah satu pemegang taruh besar kementerian ini.

"Buat masa sekarang terdapat seramai 216,239 veteran termasuk balu diuruskan oleh Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

"Peruntukan ini telah terus digandakan secara signifikan kepada RM279.2 juta iaitu peningkatan sebanyak RM160.8 juta bersamaan dengan 135 peratus kenaikan berbanding tahun lalu," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28