Mantai Rayo tawar daging RM36 sekilogram

Anggaran 16,000 kilogram daging pejal atau 160 ekor lembu disediakan dalam program Mantai Rayo bersempena sambutan Aidilfitri minggu depan untuk rakyat negeri ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Aminuddin
Anggaran 16,000 kilogram daging pejal atau 160 ekor lembu disediakan dalam program Mantai Rayo bersempena sambutan Aidilfitri minggu depan untuk rakyat negeri ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan meneruskan tradisi mantai melalui Program Mantai Rayo Negeri Sembilan pada Ahad ini dengan menawarkan harga daging pejal segar pada kadar RM36 sekilogram.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anggaran 16,000 kilogram daging pejal atau 160 ekor lembu disediakan bagi tujuan tersebut bersempena sambutan Aidilfitri minggu depan untuk rakyat negeri ini.

Menurutnya, program ini dijalankan secara serentak di lapan kawasan Parlimen melibatkan 20 lokasi terpilih, bermula jam 7 pagi sehingga habis stok.

"Kerajaan memahami rintihan dan keluh kesah rakyat di luar sana berkaitan kenaikan harga beberapa bahan kering dan mentah tetapi tidak lengkap rasanya jika sambutan hari raya di Negeri Sembilan tanpa aktiviti mantai.

"Justeru, bagi membantu mengekalkan tradisi dan kemeriahan sambutan hari raya pada tahun ini, kerajaan negeri memberikan insentif tunai kepada penjual-penjual daging yang berminat menyertai program ini bagi membantu menawarkan harga daging lembu pejal tempatan dengan lebih berpatutan," katanya pada Program Pra-Pelancaran Mantai Rayo di Wisma Negeri pada Rabu.

Hadir sama, Exco Kanan Negeri Sembilan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Aminuddin berkata, ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengguna menikmati manfaat yang dibawa oleh pihak kerajaan dalam berhadapan dengan kos sara hidup dan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau difahamkan di beberapa lokasi, penjual daging bersetuju menjual daging pejal pada kadar harga lebih rendah daripada RM36 sekilogram seperti yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Negeri amat berbesar hati dan berterima kasih kepada penjual-penjual daging yang sanggup menurunkan harga.

"Program ini akan dijalankan bersekali dengan Program Jualan Ladang Nismilan Prihatin di bawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (DOANS) dan Jualan Agro Madani di bawah seliaan FAMA Negeri Sembilan.

"Turut berlangsung pada hari sama adalah Jualan Rahmah di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan (KPDN)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!