FIFA halang Kedah, KL City daftar pemain baharu

Milos Gordic antara pemain baharu yang direkrut KDA FC. Foto KDA FC
Milos Gordic antara pemain baharu yang direkrut KDA FC. Foto KDA FC
A
A
A

DUA kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur (KL) City FC antara pasukan yang dihalang untuk mendaftar pemain baharu bagi musim 2024-2025 selepas gagal menyelesaikan tunggakan gaji.

Menerusi data daripada laman sesawang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), KDA FC telah digantung daripada mendaftar pemain baharu sejak 4 Mac lalu manakala KL City pula digantung sejak 1 Februari.

Selain kedua-dua pasukan itu, empat lagu pasukan dari Malaysia turut menerima nasib sama iaitu Kelantan FC, Melaka United, Perlis FA dan Sarawak United FC.

Tindakan FIFA menggantung KDA FC dan KL City itu menimbulkan persoalan selepas pasukan itu sedang rancak merekrut pemain baharu untuk saingan liga musim ini.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai, namun menjelang bermulanya musim baharu ini mereka sudah bergerak untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan dokumen pembayaran gaji KDA FC dan Kl City telah diterima sebelum tarikh akhir pada 30 Mac dan dalam proses semakan.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada kedua-dua pasukan itu benar-benar telah menyelesaikan tunggakan gaji dan pihak First Instance Body (FIB) akan mengeluarkan kenyataan apabila kesemua dokumen itu sudah disemak.

Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim ini dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan dengan serta merta.

Artikel Berkaitan:

Namun, yang menjadi persoalan lebih besar adalah nasib para pemain baharu yang telah didaftarkan kedua-dua pasukan itu sama ada ia sah atau pun tidak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28