158 individu ditahan dalam Ops Noda Khas di Pahang

Yahaya
Yahaya
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan 158 individu termasuk 128 wanita warga asing hasil 27 serbuan ke atas restoran, hotel dan pusat hiburan melalui operasi Op Noda Khas di negeri ini dalam tempoh 27 Februari hingga 31 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua individu ditahan berusia 20 hingga 56 tahun itu terdiri 21 lelaki dan lapan wanita warga tempatan yang merupakan pemilik dan penjaga premis.

Menurutnya, wanita warga asing terdiri daripada 97 warga Thailand, Indonesia (9), Laos (8), Vietnam (9) dan China (5) disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan dan pelayan pelanggan (GRO).

"Hasil operasi yang dijalankan di Kuantan, Temerloh, Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut itu, tindakan turut diambil ke atas tujuh premis hiburan yang beroperasi di sebalik lesen restoran selain menggajikan wanita warga asing untuk melayan pelanggan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1969/63 atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit kerja sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan seks bagi maksud persundalan dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (langgar syarat pas), Seksyen 4(1)(b) Enakmen Hiburan Negeri Pahang (jalankan perniagaan tanpa lesen hiburan sah) dan Kaedah 30 enakmen sama (beroperasi lebih masa).

"Operasi Ops Noda Khas itu dijalankan tertumpu ke atas premis restoran, hotel dan pusat hiburan yang didapati menggaji wanita warga asing bagi membanteras kegiatan maksiat dan pelacuran.

"Selain itu, ia juga bertujuan membanteras premis-premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemilik premis serta majikan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil termasuk dicadangkan pembatalan lesen premis kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilakukan terhadap mereka yang berdegil.

"Pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan warga asing yang didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja atau menjalankan aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28