Nanas 'cobek' tak perlu kupas kulit!

Nanas 'cobek' yang hanya perlu dicubit isinya untuk dimakan tanpa dikupas di bahagian kulit.
Nanas 'cobek' yang hanya perlu dicubit isinya untuk dimakan tanpa dikupas di bahagian kulit.
A
A
A

TUMPAT - Minat terhadap variasi dalam bidang pertanian memberi inspirasi kepada seorang peladang hingga berjaya menghasilkan tanaman nanas baimler atau nanas cobek (cubit) pertama di Malaysia.

Tanaman nanas seluas 11.2 hektar itu diusahakan oleh Mohd Alida’em Ibrahim, 46, di Kampung Pulau Kerbau, Kampung Laut, Tumpat.

Katanya, ladang nanas itu diusahakan sejak Ogos 2018 dan sudah pun membuahkan hasil nanas 'cobek' pertama negara.

Rasa manis nanas 'cobek' membuatkan ramai menggemari buah ini lebih-lebih lagi mudah untuk dimakan.
Rasa manis nanas 'cobek' membuatkan ramai menggemari buah ini lebih-lebih lagi mudah untuk dimakan.

“Teknik penanamannya sama seperti nanas biasa jenis MD2 dan Madu Kaca iaitu memerlukan tempoh masa antara setahun sehingga setahun setengah untuk masak.

“Cara penjagaan juga sama dengan penanaman nanas biasa, tidak memerlukan air yang banyak tetapi bezanya nanas cobek mempunyai kulit yang rapuh dan boleh dicobek-cobek untuk dimakan,” katanya ketika ditemui di Ladang Daimler di sini hari ini.

Menceritakan bagaimana timbulnya idea mengusahakan nanas cobek itu, Mohd Alida’em berkata, dia suka mencuba pelbagai perkara baharu dalam bidang pertanian dan sebelum ini pernah menanam betik hibrid serta pisang.

“Saya minat dalam bidang tanaman dan mencuba pelbagai variasi pertanian untuk dipasarkan dan terbaru nanas cobek ini yang boleh dimakan tanpa mengupas kulit berbanding nanas biasa yang lebih rumit untuk membuang kulitnya.

Artikel Berkaitan:

“Pertama percubaan saya menanam nanas ini di tanah bersebelahan rumah seluas 0.2 hektar dan membuahkan hasil. Kini saya mempunyai 68,000 anak pokok nanas tanaman kali kedua di tanah seluas 11.2 hektar,” katanya.

Jelasnya lagi, 68,000 anak pokok itu dijangka akan membuahkan hasil berjumlah 68,000 nanas pada awal tahun depan dan akan dipasarkan di dalam negara terlebih dahulu sebelum dieksport ke negara lain.

Tanaman nanas 'cobek' kali kedua yang diusahakan Mohd Alida’em dijangka akan membuahkan 68,000 nanas cobek pada awal tahun depan.
Tanaman nanas 'cobek' kali kedua yang diusahakan Mohd Alida’em dijangka akan membuahkan 68,000 nanas cobek pada awal tahun depan.

“Kulit nanas 'cobek' mempunyai tekstur yang rapuh dan dipotong bahagian depan sebelum isinya 'dicobek' pada bahagian mata untuk memakannya.

“Rasanya yang manis mendapat permintaan tinggi daripada penggemar nanas ditambah dengan kelainan mudah untuk dimakan selain mempunyai jus yang banyak,” katanya.

Tambahnya, pada peringkat permulaan buah nanas 'cobek' dijual RM10 sekilogram dan mempunyai gred A, B dan C bergantung saiz buah.

Rasa manis nanas 'cobek' membuatkan ramai menggemari buah ini lebih-lebih lagi mudah untuk dimakan.
Rasa manis nanas 'cobek' membuatkan ramai menggemari buah ini lebih-lebih lagi mudah untuk dimakan.