AS hormat hak protes dan boikot

Antara peserta yang hadir pada Himpunan 'Global Day of Action: Ceasefire Now, Stop War on Gaza' yang berlangsung berhampiran Kedutaan Besar AS pada 13 Januari lalu. Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Antara peserta yang hadir pada Himpunan 'Global Day of Action: Ceasefire Now, Stop War on Gaza' yang berlangsung berhampiran Kedutaan Besar AS pada 13 Januari lalu. Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf pendirian tegas Malaysia berhubung isu Gaza sekali gus menghormati hak negara ini dan rakyatnya untuk melakukan boikot serta protes secara aman di luar kedutaannya baru-baru ini.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, walaupun ia bukanlah situasi ideal di mana AS menjadi sasaran protes dan boikot akibat perang Palestin-Israel, namun ini situasi yang perlu dijalani.

“Saya berbohong kalau mengatakan kami gembira rakyat Malaysia melihat AS sebagai cara melepaskan ketidakpuasan hati terhadap Israel walaupun hakikatnya kami bukan Israel.

“Namun saya faham ini adalah realitinya dan refleksi pendirian kebanyakan rakyat Malaysia. Kami sejak sekian lama amat menyokong hak untuk memprotes secara aman.

“Kami turut berterima kasih dengan kerjasama kerajaan dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan fasiliti dan rakyat kami,” kata Kagan dalam pertemuan khas bersama media di kediamannya pada Selasa.

Kagan
Kagan

Kagan menjelaskan, protes dan boikot yang berlangsung tidak menjejaskan AS mahupun Israel, tetapi sebaliknya dua cawangan utama iaitu satu milik rakyat Malaysia dan satu milik Arab Saudi.

“Dalam kes ini, hanya pekerja Malaysia terjejas, mungkin terdapat kepuasan simbolik bila melakukannya, tetapi akhirnya orang yang benar-benar menerima kesannya bukan Israel atau AS.

Artikel Berkaitan:

“Saya ulangi kami amat menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing dalam cara yang mereka mahu,” katanya.

Pada masa sama, Kagan turut menyatakan cabaran sebenar di sebalik tindakan protes dan boikot itu adalah bagaimana ia boleh diterjemah menjadi instrumen yang dapat membantu mengembalikan keamanan di bumi bergolak, Gaza.

"Kami mendengar dengan jelas pendirian kerajaan Malaysia dan juga orang ramai berkenaan isu Gaza serta kebimbangan mendalam dirasai oleh mereka terhadap penderitaan yang sedang berlaku di sana dan pendirian itu telah disampaikan secara efektif kepada pihak AS.

"Namun di sebalik tindakan protes dan boikot yang dilakukan, cabaran sebenar adalah bagaimana tindakan tersebut boleh mewujudkan gencatan senjata, pelepasan tahanan serta bagaimana ia boleh menjadi usaha menghentikan penderitaan," katanya.

Kagan (tengah) bersama kumpulan bersama wartawan pelbagai media di kediamannya pada Selasa. - Foto Sinar Harian YUSRIZAL YUSUF AHMAD
Kagan (tengah) bersama kumpulan bersama wartawan pelbagai media di kediamannya pada Selasa. - Foto Sinar Harian YUSRIZAL YUSUF AHMAD

Kagan berkata, dalam mencapai matlamat tersebut ia memerlukan kerjasama dan penglibatan komuniti antarabangsa secara kolektif malah AS sendiri turut memainkan peranannya dalam perkara itu.

Buktinya, pada 22 Mac lalu Komando Pusat AS (CENTCOM) telah melaksanakan misi menggugurkan bantuan kemanusiaan ke utara Gaza bagi membantu orang awam yang terjejas akibat konflik Palestin-Israel.

"AS merupakan antara penyumbang terbesar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan pada masa sama AS turut sedang bekerjasama rapat dengan Mesir dan Qatar untuk cuba merealisasikan gencatan senjata berterusan.

"Pada akhirnya, semua mengharapkan kami bukan bercakap kosong tetapi ada tindakan. Itu yang kami cuba lakukan," katanya.

Untuk rekod, sejak serangan besar-besaran 7 Oktober tahun lalu, lebih 32,000 rakyat Palestin sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak tidak berdosa telah menjadi korban kekejaman tentera Israel manakala rakyat yang terselamat terpaksa hidup dalam keadaan serba daif sehingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Kagan yang merupakan Duta Besar AS ke Malaysia yang ke-22 turut mengakui banyak telah berubah sejak beliau meninggalkan negara ini pada tahun 2017 ketika itu sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kuala Lumpur.

"Malaysia telah melalui banyak perubahan yang berlaku secara aman termasuklah melalui dua pilihan raya, dan pada kami ia membuktikan satu kisah kejayaan demokrasi.

"Jika ada yang bertanya adakah demokrasi berfungsi, saya akan memetik nama Malaysia," katanya.

Kagan yang menyembahkan tauliah beliau kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Mac turut sempat menzahirkan rasa teruja dapat kembali ke Malaysia.

"Sejak hari pertama Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kedua-dua negara kita telah menjalin perkongsian yang berkekalan atas dasar kepentingan bersama dan saling menghormati.

"Sebagai Duta Besar AS, saya berharap dapat merasai dan belajar daripada kekayaan budaya dan masyarakat di seluruh Malaysia demi memperkukuh nilai-nilai bersama kita dan mempererat perkongsian kita," katanya.