IIR bantu capai sasaran 1 juta pelancong asing ke Ipoh

Rumaizi (tengah) menunjukkan baju-t rasmi IIR ketika menyempurnakan pelancaran IIR 2024 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.
Rumaizi (tengah) menunjukkan baju-t rasmi IIR ketika menyempurnakan pelancaran IIR 2024 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Penganjuran Ipoh International Run (IIR) yang kembali diadakan selepas tujuh tahun dijangka membantu mencapai sasaran satu juta pengunjung luar negara ke Bandaraya Ipoh sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pada tahun lalu sahaja dianggarkan sehingga 600,000 pelancong asing berkunjung ke Ipoh.

Menurutnya, sasaran diletakkan kerajaan negeri Perak sebanyak satu juta pelancong asing ke Ipoh tahun ini dijangka dapat dicapai lebih awal.

"Penganjuran IIR pada tahun ini sebahagian daripada pelancongan sukan yang menjadi antara salah satu acara untuk menarik kehadiran pelancong antarabangsa ke Ipoh.

"Tahun lalu sahaja berdasarkan rekod kemasukan pelancong asing melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, jumlah warga asing yang masuk ke Ipoh sahaja 298,000 itu tak termasuk melalui kereta api dan jalan darat. Tahun lepas dianggarkan 500,000 hingga 600,000 orang, jadi tahun ini nak dapatkan satu juta pengunjung bukan omong kosong," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan IIR 2024 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.

Rumaizi (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran IIR 2024 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.
Rumaizi (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran IIR 2024 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.

Rumaizi berkata, lokasi larian tersebut akan diadakan di Stadium Indera Mulia pada 28 Julai 2024 dengan sebanyak 5,000 penyertaan disasarkan dari dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penganjuran kali ini juga menyaksikan kolaborasi di antara MBI dan juga Ashku Event Glow Management.

Menurutnya, kelainan turut ditampilkan antaranya semua peserta yang menamatkan larian akan diberikan kelapa muda di garisan penamat.

IIR 2024 menyaksikan 15 kategori yang akan dipertandingkan melibatkan tiga jarak iaitu 21KM, 10KM dan 5KM dengan nilai keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM14,800.

Pendaftaran telah pun dibuka sejak 11 Mac 2024 yang lalu dan setakat 1 April jumlah penyertaan terkini sebanyak 1,611 dan sebanyak 35 penyertaan luar negara telah diterima melibatkan negara dari China, Singapore, Netherland dan juga Brunei.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web Howei, Raceroster dan juga Checkpoint Spot.

Selain itu para peserta juga turut menerima baju, medal, E-sijil penyertaan dan juga cenderahati berupa produk tempatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!