Tiga kementerian bincang atasi masalah jalan rosak

Isu penyenggaraan jalan akan terus menjadi fokus KKR dalam mengurus infrastruktur awam negara - Gambar hiasan
Isu penyenggaraan jalan akan terus menjadi fokus KKR dalam mengurus infrastruktur awam negara - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menggerakkan jalinan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.

KKR berkata, kerjasama itu dibentuk menerusi libat urus dihadiri kementerian itu yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu pada Isnin.

Menurutnya, penglibatan tiga kementerian itu kerana bidang kuasa berhubung jalan dan penguatkuasaan masing-masing saling berhubung kait dan memerlukan sinergi yang padu dalam mengatasi isu keselamatan jalan.

"Sesi libat urus tersebut membincangkan jalinan kerjasama rentas kementerian dalam mencari mekanisme terbaik menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing.

"Mekanisma ini akan diperhalusi sebelum tindakan strategik dilaksanakan di bawah payung Program MYJalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, KKR berkata, perkara utama lain yang turut dibincangkan dalam sesi libat urus berkenaan termasuklah pengukuhan kerjasama antara kementerian bagi menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan.

Menurutnya, aplikasi terbabit telah diluncurkan oleh Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023, yang bertindak sebagai pemudah cara kepada pengadu dengan menerima semua jenis aduan selaras dengan konsep 'No wrong door policy' aplikasi ini.

"Sejak diluncurkan sehingga 29 Mac 2024, aplikasi ini menerima 13,391 aduan berkaitan pelbagai isu jalan raya dan statistik menunjukkan bahawa 26.51 peratus adalah aduan jalan milik KKR manakala selebihnya iaitu 73.49 peratus milik pelbagai pihak lain.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, sesi libat urus ini amat signifikan dalam memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan dengan penglibatan serius pihak-pihak pemilik jalan lain demi memastikan keselesaan dan keselamatan pemanduan rakyat," ujarnya.

KKR menambah, hasil perbincangan antara KKR, MOT dan KPKT berkenaan turut terarah kepada cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada semua wakil pemilik jalan raya yang akan melaporkan status tindakan penyelesaian bagi aduan secara berkala.

Katanya lagi, jawatankuasa tersebut juga akan memperhalusi setiap cadangan, isu dan cabaran yang telah dibentangkan oleh wakil setiap kementerian serta agensi pada sesi kolaborasi berkenaan.

"Sinergi pelbagai pihak ini membuktikan KKR terus komited dalam memperkasakan dan merakyatkan Program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional.

"Isu penyenggaraan jalan akan terus menjadi fokus KKR dalam mengurus infrastruktur awam negara kerana impaknya bukan sahaja dari segi aspek kewangan negara tetapi yang lebih utama adalah nyawa pengguna," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!