52.6 peratus warganegara 18 tahun ke atas berjaya isi PADU

Sebanyak 58.7 peratus profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun telah berjaya dikemas kini. Gambar kecil: Rafizi Ramli
Sebanyak 58.7 peratus profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun telah berjaya dikemas kini. Gambar kecil: Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus rakyat negara ini yang berumur 18 tahun ke atas telah berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri di sistem PADU.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 58.7 peratus profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun telah berjaya dikemas kini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih (secara terbuka) kepada semua warga negara yang mendaftar, mengemaskini dan mengesahkan data-data mereka.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pasukan pembangunan sistem PADU di Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi dan juga agensi-agensi lain yang terlibat atas usaha menjayakan pelaksanaan PADU.

“Langkah seterusnya adalah untuk membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri pada bulan ini. Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Rafizi, mereka yang tidak berjaya mendaftar dan mengemaskini profil di PADU, data pentadbiran yang sedia adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

Jelasnya, sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan mengumumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian, setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Artikel Berkaitan:

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu iaitu https://padu.gov.my/.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!