Range Rover SV tanpa AP bernilai RM2.9 juta dirampas

Norlela (tiga kanan) menunjukkan gambar Range Rover yang dirampas di Kompleks Maskargo KLIA, pada Isnin lalu.
Norlela (tiga kanan) menunjukkan gambar Range Rover yang dirampas di Kompleks Maskargo KLIA, pada Isnin lalu.
A
A
A

SEPANG - Sebuah kenderaan mewah jenis Range Rover SV Auto dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Maskargo, di sini Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan terpakai itu dipercayai diimport dari sebuah negara Eropah tanpa permit import (AP) daripada Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI).

Katanya, kenderaan itu merupakan barangan larangan import bersyarat kecuali dengan satu lesen atau permit sebagaimana yang ditetapkan di Bahagian 1, Jadual Kedua, Butiran Nombor 3(2), Perintah Kastam (Larangan mengenai import) 2023.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu tiada memiliki permit import yang sah.

"Nilai dagangan yang disita dianggarkan RM2.9 juta termasuk nilai duti dan cukai," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam KLIA di sini pada Isnin.

Tambahnya, kenderaan itu telah disita dan dibawa ke Pejabat Penguat kuasa KLIA untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan dalang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Justeru, orang ramai diseru memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!