Tujuh saksi tampil beri keterangan kes bom petrol KK Mart Bidor

Mohd Naim. Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Naim. Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Tujuh individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes lempar bom petrol di kedai serbaneka KK Mart dekat Bidor, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, semua saksi berkenaan tampil memberi keterangan bagi siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan untuk kesalahan khianat.

"Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan, bagaimanapun kita telah merakam percakapan tujuh individu kalangan pekerja premis dan orang awam," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau berkata, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiada bukti lain ditemui di lokasi kejadian yang dapat membantu siasatan.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kawalan dan rondaan lebih ketat dilakukan di lokasi kejadian bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan awal polis mendapati bom petrol yang dilempar ke kedai itu dipercayai dilakukan seorang lelaki yang menaiki kereta.

Semakan rakaman CCTV kedai terbabit menunjukkan sebuah kereta berwarna gelap yang mempunyai pelekat warna merah 'Lalamove', berhenti di tepi jalan kira-kira jam 5.35 pagi.

Kejadian 26 Mac itu disedari kakitangan kedai serbaneka terbabit yang mendengar bunyi botol pecah di hadapan premis.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan menjumpai serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai serta bau seperti minyak tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!