Xiaomi SU7 mampu jadi pencabar baharu Tesla

Xiaomi akan memulakan penghantaran SU7 kepada pembeli mulai penghujung April ini. - Foto Agensi
Xiaomi akan memulakan penghantaran SU7 kepada pembeli mulai penghujung April ini. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Syarikat gergasi teknologi China, Xiaomi telah menerima 88,898 tempahan kenderaan elektrik (EV) pertama keluarannya hanya 24 jam selepas melancarkan model Xiaomi SU7 itu.

Pada Khamis, Xiaomi secara rasmi melancarkan Xiaomi SU7 untuk pasaran China, sekali gus membolehkan para pengguna di negara itu mula membeli kenderaan berkenaan.

Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun berkata, sebanyak tiga variasi ditawarkan pada harga bermula 215,900 yuan (kira-kira RM141,500).

“SU7 yang kompak dan sporty akan tersedia dalam sembilan warna dan termasuk simulasi bunyi untuk mencipta semula keseronokan memandu kereta sport,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran SU7.

Pelancaran SU7 itu dibuat hanya beberapa hari selepas syarikat gergasi kereta China, BYD mencatatkan rekod keuntungan tahunan kerana perkembangan pesat ke luar negara di Asia Tenggara serta lebih jauh di Amerika Latin dan Eropah.

Pada masa sama, Lei Jun berkata, Xiaomi menyasarkan akan membuat penghantaran SU7 kepada pembeli bermula penghujung April ini.

“SU7 adalah setanding dengan Model 3 Tesla dan mengatasi sedan pembuat Amerika dalam beberapa aspek. Saya rasa kami boleh menyediakan produk yang lebih baik untuk pengguna Model 3,” ujarnya.

Dengan langkah pengenalan SU7, ia bakal memperlihatkan Xiaomi mula menjana kewangan daripada produk di bawah kategori automotif, seterusnya meletakkan nama mereka sebaris BYD dan Tesla milik Elon Musk.

Artikel Berkaitan:

Xiaomi SU7 lebih murah berbanding model Tesla Model 3 yang diberi tanda harga AS$34,000 (RM160,576) di China.

Buat masa ini, belum diketahui perancangan Xiaomi berkenaan penawaran SU7 yang mempunyai kemudahan lain seperti peralatan karaoke dan peti sejuk mini di luar China. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!