Tular titah lama Sultan Nazrin di luar konteks, Pejabat Dewan Negara Perak lapor polis

Sultan Nazrin
Sultan Nazrin
A
A
A

IPOH - Pejabat Dewan Negara Perak membuat laporan polis semalam berhubung penularan kenyataan berunsur perkauman yang memetik titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah 19 tahun lepas dalam konteks yang salah.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, laporan itu dibuat kerana dipercayai ada pihak yang memilih mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan, hingga mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan oleh Raja Nazrin Shah pada 2005.

"Demi melindungi nama baik DYMM Paduka Seri Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat mereka, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 28 Mac 2024,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut Dr Mohd Zahidi, baginda khuatir perbuatan tidak beretika mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dengan mengaitkan secara luar konteks titah yang pernah baginda zahirkan atas nama Raja Muda Perak, sembilan belas tahun lalu, sebagai perbuatan menangguk di air keruk yang tidak bertanggungjawab, membawa kesan langsung yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Sebelum ini, telah ditular mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ atas nama 'Amanah Membina Negara' yang menggunakan petikan titah Sultan Nazrin semasa menjadi Raja Muda Perak di Kongres Pendidikan Melayu Kedua yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2005 dalam konteks yang salah.

Mengulas lanjut, Mohd Zahidi berkata, dalam titah tersebut baginda menzahirkan kupasan terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi kelemahan dan kekuatan bangsa Melayu dan pentingnya bangsa bersifat merdeka dan dimerdekakan jiwa, dibebaskan minda, diperkaya dengan nilai-nilai positif, bebas mendaki puncak pengetahuan, bebas menyelami lautan ilmu serta dibina keyakinan bangsa.

"Baginda menegaskan agama, pemimpin, keluarga, masyarakat serta ilmu dan pendidikan mempunyai peranan kuat dalam budaya masyarakat Melayu. Baginda memperingatkan agar bangsa perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan-ungkapan negatif yang merendahkan martabat.

"Sepanjang titah, Baginda tidak sama sekali mengait atau menzahirkan ungkitan terhadap mana-mana kaum di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zahidi berkata, Sultan Nazrin Shah telah disembah maklum oleh Polis Diraja Malaysia mengenai kejadian melempar bom petrol ke dalam sebuah kedai serbaneka di Bidor 26 Мас lalu.

"Baginda menyifatkan perbuatan permulaan yang berlaku ini merupakan petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.

"Baginda mempercayai majoriti rakyat Malaysia, bersikap sikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan.

"Sultan Nazrin Shah juga memberi jaminan untuk memberi naungan dan lindungan kepada setiap rakyat di negara ini daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama, secara adil dan saksama agar dapat terus hidup dalam rukun dan damai sama-sama membina dan membangunkan negara yang aman lagi makmur," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28