Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin gamit 1,000 pengunjung

Program berbuka beramai-ramai mendapat sambutan meriah di Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.
Program berbuka beramai-ramai mendapat sambutan meriah di Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.
A
A
A

AYER KEROH - Penganjuran program Jelajah Iftar Ala Madinah oleh Mydin Mohamed Holdings (Mydin) yang julung kali diadakan di pekarangan Mydin MITC, Ayer Keroh di sini, pada Jumaat, mendapat sambutan meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung.

Meskipun cuaca sedikit panas, namun kawasan lapang yang dihamparkan tikar bagi kemudahan berbuka telah mula didatangi orang ramai seawal jam 5.30 petang.

Seorang pengunjung dari Muar, Johor, Jamilah Musa, 40, berkata, beliau yang datang bersama suami dan tiga anak berusia 15,13 dan 11 tahun teruja untuk menghadiri program berbuka beramai-ramai seperti itu.

Jamilah
Jamilah

Menurutnya, program tersebut mencipta pengalaman berharga buatnya sekeluarga lebih-lebih lagi pertama kali berbuka di luar dengan suasana santai dan bersila seperti itu.

“Kebetulan hari Jumaat sekolah di Johor cuti, jadi lepas solat Jumaat kami bertolak ke Melaka semata-mata nak memeriahkan program ini.

“Saya mengambil peluang daftar selepas terlihat iklan program ini di laman Facebook,” katanya.

Seorang lagi peserta yang merupakan seorang guru, Siti Nur Sarah Ramli, 33, berkata, sebelum Ramadan dia telah mendaftarkan ahli keluarganya untuk menyertai program Iftar Ala Madinah yang memberi kelainan suasana berbuka.

Artikel Berkaitan:

Siti Nur Sarah
Siti Nur Sarah

Menurutnya, bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah mewujudkan perpaduan dalam masyarakat Islam apabila orang ramai tanpa mengira usia, pangkat dan keturunan datang berbuka beramai-ramai.

“Sebenarnya suami yang maklumkan kepada saya mengenai program ini dan saya begitu teruja.

“Memang kami tunggu program seperti ini sebab jarang-jarang diadakan dan harap dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang,” katanya yang menetap di Krubong.

Siti Nur Sarah turut mencadangkan agar kaedah iftar seperti itu diperhebat lagi promosinya supaya lebih ramai orang dapat menyertainya, selain mempelbagaikan lagi pengisian program.

Eratkan silaturahim

Bagi suri rumah dari Bukit Katil, Nazlifah Arsam, 46, melihat pengunjung dalam kalangan pelbagai bangsa termasuk warga asing memberi keinsafan untuk lebih bersyukur dan Islam itu bukan dilihat dari pada perbezaan warna kulit.

Nazlifah
Nazlifah

Menurutnya, dia berpeluang membuat pendaftaran menyertai program tersebut itu beberapa hari lalu dan datang bersama suami serta tiga orang anaknya untuk memberi sokongan terhadap penganjuran yang bermanfaat.

“Sekurang-kurangnya kita dapat belajar sesuatu, ada antara kita yang susah, jadi dengan adanya program ini mereka dapat berbuka secara percuma,” katanya.

Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin akan diadakan di enam cawangan lain iaitu Mydin Meru Raya (Perak), Mydin Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Mydin Gong Badak (Terengganu) dan Mydin Tunjong (Kelantan) selain Mydin Seremban 2 (Negeri Sembilan) yang diadakan pada Rabu lalu.

Selain itu, 500 peserta yang mendaftar awal diberikan cenderamata istimewa dan Mydin turut menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan kepada pengunjung.

Program jelajah ke negeri ketiga itu turut mendapat kerjasama Yeo's dan diserikan dengan artis jemputan iaitu penyanyi dan penyampai radio, Mawi serta persembahan qasidah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28