Penunggang motosikal maut dirempuh bas kilang

Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto PDRM
Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto PDRM
A
A
A

BALING - Seorang pemandu jengkaut maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh sebuah bas kilang di hadapan lampu isyarat simpang tiga di, Kuala Ketil di sini pada Khamis malam.

Mangsa Ooi Su Ching, 43, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 8.19 malam itu, mangsa menunggang berseorangan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Ketil, di sini.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati bas kilang yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Bayan Lepas, Pulau Pinang selepas mengambil pekerja kilang dan dalam perjalanan ke Pekan Kuala Ketil untuk menurunkan penumpang.

“Manakala mangsa dari arah tempat kerjanya di Kuala Bakong dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Ketil.

“Setiba di tempat kejadian semasa lampu isyarat hijau, pemandu bas kilang yang berada di lorong sebelah kiri telah memotong sebuah kereta di hadapannya dan tidak nampak penunggang motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan untuk membelok masuk ke sebelah kanan jalan lalu merempuh bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Jumaat.

Shamsudin berkata, akibat rempuhan itu, mangsa telah melambung dan terjatuh di laluan bertentangan.

Katanya, susulan itu mangsa telah mengalami cedera parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Sejurus kejadian, pemandu bas berusia 38 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan ketika kejadian terdapat tujuh penumpang di dalam bas itu.

“Saringan air kencing telah diambil dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat pada hari ini (Jumaat),” ujarnya lagi.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28