Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia

Lokasi lelaki warga emas tersebut ditemui. - Foto BBP Yong Peng
Lokasi lelaki warga emas tersebut ditemui. - Foto BBP Yong Peng
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika menaiki motosikal di Jalan Parit Yaani di sini ditemukan meninggal dunia pada Khamis.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan warga emas terbabit pada jam 5.33 petang pada Rabu.

Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan serta sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Mangsa berusia 80 tahun dilaporkan hilang ketika menaiki motosikal di Jalan Parit Yaani.

“Tindakan operasi menggunakan unit pengesan daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan unit dron daripada pasukan forensik JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) Johor," katanya.

Beliau berkata, pada jam 9.30 pagi, Khamis, mangsa telah ditemui oleh orang awam di kawasan kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat kali terakhir.

"Mangsa didapati telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28