Keliling kampung, ketuk buluh kejut penduduk bersahur

Mohd Ali (depan) bersama pasukan gerak sahur mengelilingi kampung menggunakan motosikal sambil mengetuk buluh untuk mengejut penduduk di Teluk Bahang bangun bersahur.
Mohd Ali (depan) bersama pasukan gerak sahur mengelilingi kampung menggunakan motosikal sambil mengetuk buluh untuk mengejut penduduk di Teluk Bahang bangun bersahur.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pasukan gerak sahur di Teluk Bahang di sini masih mengejutkan penduduk di kawasan itu untuk bangun bersahur walaupun sudah dua minggu umat Islam berpuasa.

Setiap kali Ramadan, pasukan dianggotai oleh anak-anak kariah Teluk Bahang itu akan bergerak secara berkumpulan menggunakan motosikal untuk mengelilingi kampung selama sejam.

Ketua pasukan gerak sahur, Mohd Ali Abdul Jabbar berkata, dia bersama rakan-rakannya akan mengelilingi kampung menggunakan motosikal sambil mengetuk buluh bermula jam 4 hingga 5 pagi setiap hari.

"Sejak 2018, anak-anak kariah Teluk Bahang bersama-sama mengambil tugas ini untuk mengejutkan umat Islam di beberapa kampung di Teluk Bahang untuk bangun sahur.

"Selain menggunakan buluh, pasukan gerak sahur ini juga akan melaungkan perkataan 'sahur' di sepanjang laluan kami di Teluk Bahang," katanya di sini pada Khamis.

Mohd Ali berkata, aktiviti itu terbuka kepada semua anak-anak kariah Teluk Bahang untuk bersama-sama menyertai pasukan gerak sahur.

"Setiap hari terdapat kira-kira 20 remaja akan menyertai pasukan kami, jika cuti hujung minggu, jumlah ini akan bertambah. Anak-anak muda ini berminat untuk menyertai kami kerana aktiviti ini menyeronokkan.

Pasukan gerak sahur akan mengejutkan penduduk selama selama sejam setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.
Pasukan gerak sahur akan mengejutkan penduduk selama selama sejam setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan mengelilingi tujuh kawasan kampung dan empat buah flat di Teluk Bahang setiap hari. Maklum balas yang kami terima, amat memberangsangkan. Kami juga rasa puas dapat menjalankan tanggungjawab ini," katanya lagi.

Jelas Mohd Ali, insiatif itu digerakkan bagi menghidupkan semula tradisi gerak sahur yang semakin dilupakan generasi muda.

"Sebenarnya, tradisi ini sudah lama orang buat, sejak zaman nenek moyang kita lagi. Oleh itu, kami menggerakkan pasukan ini supaya generasi sekarang tidak lupa dengan tradisi ini.

"Orang kampung juga mengalu-alukan aktiviti ini kerana mereka tidak perlu bimbang sekiranya terlupa mengunci jam kerana pasukan kami ada setiap hari untuk mengejutkan mereka," katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan gerak sahur, Afif Dini Afzainizam, 20, berkata, aktiviti gerak sahur amat dinanti-nantikan setiap kali Ramadan.

"Setiap kali Ramadan, selain berpuasa, ini lah yang dinanti-nantikan iaitu mengejutkan orang bersahur.

"Waktu sahur selalunya orang sukar untuk bangun kerana sedang nyenyak tidur, jadi kami bersama-sama pasukan gerak sahur mahu membantu orang ramai menghidupkan sunnah Nabi Muhammad untuk umat Islam bangun bersahur.

"Oleh itu, saya berharap lebih ramai lagi anak muda dari kariah Teluk Bahang menyertai pasukan gerak sahur ini pada masa depan untuk memeriahkan waktu sahur," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!