PAC mula prosiding isu LTAT, NIISe selepas Aidilfitri - Mas Ermieyati

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memulakan dua prosiding baharu melibatkan isu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pembangunan dan Perolehan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) selepas sambutan Aidilfitiri.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding LTAT akan bermula pada 20 Jun 2024 dengan memanggil bekas Pengerusi LTAT, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT dan bekas Pengarah Kanan Strategik LTAT.

"Bagi isu Perolehan dan Pembangunan NIISe, PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil saksi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Cybersecurity, vendor-vendor berkaitan dengan sistem ini termasuk Sistem Keselamatan Imigresen Nasional Negara (SKIN).

"Tarikh mula prosiding berhubung isu ini akan ditetapkan kemudian dan Terma Rujukan (TOR) akan diserahkan kepada KDN dan JIM sebagai persediaan untuk menyediakan maklumat berkaitan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata, PAC mengambil keputusan untuk memulakan prosiding itu kerana terkesan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar sejumlah RM231.5 juta kepada sebuah syarikat atas penamatan kontrak bagi projek SKIN yang kini dikenali sebagai NIISe.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, sebanyak empat laporan PAC dan tiga Laporan Tindakan Susulan Kementerian telah dibentangkan semasa Mesyuarat Pertama Sidang Dewan Rakyat kali ini hasil daripada kesemua aktiviti PAC bagi suku pertama 2024.

Selain itu, sebanyak tiga isu telah selesai melalui prosiding yang diadakan PAC, namun masih belum dibentangkan iaitu isu Felcra Berhad, isu Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp serta isu Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar.

"Secara keseluruhannya, PAC telah bermesyuarat secara purata selama 83 jam bagi suku pertama 2024 yang membabitkan 12 kementerian dan ini tidak termasuk satu lawatan kerja yang telah diadakan di Sarawak pada 5 Februari 2024 bagi meninjau kondisi empat sekolah daif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, berdasarkan tujuh laporan yang telah dibentangkan, PAC Parlimen ke-15 merumuskan bahawa kerajaan perlu terus berusaha memastikan pengurusan kewangan negara terutama sekali daripada kontrak, perolehan dan keutamaan projek yang dilaksanakan diberikan perhatian.

"PAC risau dan bimbang kerana kebanyakan isu disiasat oleh PAC masih mempunyai elemen-elemen seperti proses pembangunan sesuatu projek dimulakan terlebih dahulu walaupun kontrak masih belum dimuktamadkan; kelewatan pelaksanaan projek berpunca daripada pemilihan kontraktor yang tidak cekap dan kelemahan dalam memantau pengurusan projek.

"Bagaimanapun, PAC berpendapat tindakan korektif yang diambil oleh pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan segala isu berbangkit seharusnya dipuji. Namun, lebih elok jika kesemua projek dilaksanakan secara teratur tanpa sebarang masalah agar rakyat dapat menikmati manfaatnya,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28