Keciciran murid: KPM adakan sesi libat urus SBJK dengan 11 negeri

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan sesi libat urus dengan 11 negeri berhubung keperluan untuk memperluas Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) iaitu program yang diwujudkan bagi memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak yang tercicir persekolahan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, sesi itu melibatkan Pulau Pinang, Johor, Pahang, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

"Hasil (dapatan) sesi libat urus itu akan kita tinjau (teliti) sebelum satu keputusan akhir dibuat oleh KPM,” katanya menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang bertanyakan keberkesanan SBJK dalam mengurangkan isu keciciran murid sekolah, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh berkata, SBJK diperkenalkan pada 2013 di Chow Kit di sini bagi memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir di sekitar ibu kota sebelum diperluaskan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan di Kota Kinabalu, Sabah pada Oktober lepas.

Beliau berkata, berdasarkan statistik KPM, kadar keciciran di peringkat sekolah rendah pada tahun lepas hanya 0.06 peratus, menurun berbanding 0.29 peratus pada 2017.

"Pada peringkat sekolah menengah, kadar keciciran menurun dari 1.36 peratus pada 2017 kepada 0.83 peratus pada 2023 dan sekiranya dibanding antara sekolah rendah di bandar dan luar bandar, kadar murid yang keluar dari sekolah KPM di bandar adalah 0.37 peratus, manakala sekolah rendah di luar bandar (0.1 peratus).

"Untuk peringkat menengah, kadar murid yang keluar dari sekolah adalah 3.13 peratus di bandar dan 4.67 peratus di luar bandar. Kadar ini ambil kira keseluruhan murid yang bersekolah di Malaysia,” katanya.

Kah Woh berkata, pelbagai langkah telah dilakukan KPM untuk terus mengurangkan keciciran murid, termasuk menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan pada 2023, merangkumi 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum yang turut diagihkan kepada murid yang tercicir akibat kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, program outreach murid cicir turut dijalankan di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat. Tahun lepas, program ini berjaya memujuk seramai 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 pelajar menengah untuk kembali ke sekolah,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28