Tiga didakwa buang sisa pepejal pembinaan

Tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas dakwaan membuang sisa pepejal pembinaan di lokasi tidak dibenarkan.
Tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas dakwaan membuang sisa pepejal pembinaan di lokasi tidak dibenarkan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki termasuk seorang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan membuang sisa pepejal pembinaan di lokasi tidak dibenarkan di Pontian, tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Dua tertuduh, Tan Hock Lai, 45, dan Chia Vui Shan, 30, mengaku bersalah manakala seorang lagi tertuduh, Wong Wai Heng, 49, mengaku tidak bersalah.

Che Wan Zaidi menjatuhkan hukuman denda RM30,000 kepada Hock Lai dan RM15,000 kepada Vui Shan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hock Lai didakwa telah melonggokkan sisa pepejal di tanah lot 2030, Mukim Rimba Terjun, Pontian pada jam 2.30 petang, 20 Jun 2023.

Vui Shan pula didakwa melakukan perbuatan sama di tanah lot 5877, GM 6012 Mukim Rimba Terjun, Pontian pada jam 1.25 petang, 15 Ogos 2023.

Wai Heng pula didakwa melakukan perbuatan sama di Tanah Kerajaan (Rizab Jalan) Mukim Jeram Batu, Pontian pada jam 11 pagi, 4 Julai 2023.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntuk hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Undang-Undang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula bagi kes Wai Heng.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, sejak 2018 hingga 26 Mac, pihaknya telah mendakwa seramai 44 individu dan 12 buah syarikat di mahkamah dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM919,000.

"Selain itu, sebanyak enam lagi kes melibatkan pembuangan sampah secara haram sedang dalam proses pendakwaan di mahkamah negeri ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28