Angkasa sasar bina 3,799 rumah bantu golongan B40

Che Mohd Shukree (duduk kiri) dan Pengerusi Che Som Contractor Sdn Bhd, Jurinah Florence Justine (duduk kanan) menandatangani MoU di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini pada Rabu.
Che Mohd Shukree (duduk kiri) dan Pengerusi Che Som Contractor Sdn Bhd, Jurinah Florence Justine (duduk kanan) menandatangani MoU di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sebanyak 3,799 rumah mampu milik bagi golongan B40 siap dibina pada tahun ini.

Pengerusi MyAngkasa Bina Sdn Bhd, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 500 rumah di Sabah Timur, manakala 3, 299 rumah lagi di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, golongan B40 yang mempunyai tanah layak memohon bagi memiliki kediaman sendiri.

"Melalui program MyAngkasa, kita akan membina rumah mengikut kemampuan mereka dan menyediakan pembiayaan kepada pemohon.

"Lebih penting, syarat untuk melayakkan mereka membeli rumah kediaman sendiri amat mudah kerana tidak memerlukan slip gaji sebaliknya memerlukan pengesahan ketua kampung atau pengurus rancangan sekiranya tinggal di Felda," ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyAngkasa Bina Sdn Bhd dan Che Som Contractor Sdn Bhd di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini pada Rabu.

Menurut Che Mohd Shukree, projek yang dibangunkan itu juga berkualiti kerana menggunakan teknologi sistem bangunan perindustrian (IBS) serta mempunyai tempoh maksimum tiga bulan sahaja untuk disiapkan.

Ujar beliau, lebih menarik, projek rumah dibangunkan itu mempunyai lebih daripada 10 model dengan harga serendah RM50,000 hingga RM399,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dari segi keluasan pula, rumah itu mempunyai 450 kaki persegi sehingga 2,000 kaki persegi.

"Kalau rumah dengan keluasan 450 kaki persegi misalnya mungkin kita nampak sempit, tetapi ia memadai bagi mereka yang baru berkahwin dan ingin memulakan kehidupan.

"Kita menggunakan konsep studio apartmen, tetapi kita bina di atas tanah sendiri dan rumah ini boleh dibesarkan kepada 2,000 hingga 3,000 kaki persegi mengikut keperluan semasa," jelas beliau.

Beliau menjelaskan, usaha Angkasa itu diharap dapat mengurangkan beban rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

"Sebab itu, kita berusaha untuk menyediakan rumah bagi golongan B40 ini misalnya di Tawau Sabah, sebuah rumah dengan keluasan 2,000 kaki persegi dijual pada harga sekitar RM400,000, namun mereka boleh mendapatkan hanya RM299,000 dengan penjimatan hampir RM100,000," tambah beliau.