Jambatan Baltimore runtuh: Bukan angkara serangan keganasan

Runtuhan rangka keluli Jambatan Utama Francis Scott 'tersangkut' pada kapal kontena tersebut. - Foto AFP
Runtuhan rangka keluli Jambatan Utama Francis Scott 'tersangkut' pada kapal kontena tersebut. - Foto AFP
A
A
A

BALTIMORE - "Serangan keganasan bukan menjadi faktor runtuhnya tiang sokongan jambatan utama di Amerika Syarikat (AS) selepas ia dirempuh kapal kontena."

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Baltimore, Richard Worley selepas insiden runtuhan Jambatan Utama Francis Scott yang sepanjang tiga kilometer dan merupakan sebahagian daripada lebuh raya utama di bandar itu pada awal pagi Selasa mencetuskan pelbagai spekulasi.

Sementara itu, pengurus kapal Dali tersebut yang membawa bendera Singapura memaklumkan punca pelanggaran itu masih disiasat.

"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi persekutuan dan negeri AS. Kesemua kru kapal Dali yang dalam perjalanan menuju ke Colombo di Sri Lanka disahkan selamat," ujarnya.

Difahamkan, rakaman kejadian itu menunjukkan Dali 'blackout' sebanyak dua kali sebelum pelanggaran itu berlaku dan ia mungkin berpunca daripada kegagalan kuasa.

Bahagian jambatan itu yang runtuh kini 'tersangkut' pada Dali yang berukuran sepanjang 300 meter.

Perkhidmatan kecemasan yang meninjau lokasi runtuhan jambatan turut mengesan isyarat sejumlah kenderaan di dasar Sungai Patapsco berkenaan.

"Ia dikesan sistem sonar kami, namun jumlah sebenar kenderaan masih tidak dapat dipastikan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini berusaha untuk menjejaki mangsa yang terhumban ke dalam sungai setelah dua berjaya dibawa keluar dan salah seorang daripadanya cedera parah," kata Ketua Jabatan Bomba Bandar Baltimore, James Wallace.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa mengumumkan penggantungan operasi di pelabuhan itu.

"Trafik keluar dan masuk dari Pelabuhan Baltimore akan dihentikan sementara sehingga diberitahu kelak. Tetapi, pelabuhan itu masih dibuka untuk transaksi trak," kata Setiausaha Pengangkutan Maryland, Paul Wiedefeld.

Gabenor Maryland, Wes Moore menerusi platform X turut mengisytiharkan darurat di negeri itu.

"Kami sedang bekerjasama dengan pasukan antara agensi untuk menggunakan sumber persekutuan daripada pentadbiran Joe Biden dengan kadar segera," jelasnya.

Pada 2016, Dali dilaporkan pernah terlibat kejadian pelanggaran di Pelabuhan Antwerp di Belgium ketika ia sedang menuju ke Bremerhaven di Jerman. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28