Najib miliki kuasa penuh dalam SRC - Bekas pengarah

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa penuh untuk membuat semua keputusan dalam SRC, termasuk penggunaan dan pengagihan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 54, berkata, semua keputusan penting melibatkan jumlah wang yang besar itu dibuat oleh Najib kerana beliau adalah Menteri Kewangan ketika itu, yang mempunyai kawalan muktamad ke atas SRC melalui Menteri Kewangan Diperbadankan.

"Sebagai seorang pengarah semata-mata, dan hanya seorang daripada ramai pengarah dalam lembaga pengarah, saya tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkenaan dengan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP itu.

"Saya juga diwajibkan di bawah undang-undang dan secara amalan untuk mematuhi dan melaksanakan arahan Datuk Seri Najib," katanya dalam kenyataan saksinya dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap bekas perdana menteri dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil, yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, Shahrol Azral dinamakan sebagai responden pihak ketiga bersama bekas pengarah lain iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

Shahrol Azral berkata, memandangkan KWAP adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan, ia dikehendaki melaporkan terus kepada Menteri Kewangan.

"Datuk Seri Najib adalah Menteri Kewangan pada masa itu dan beliau adalah orang yang meluluskan permohonan SRC untuk pinjaman KWAP sama ada secara sendiri atau melalui arahannya kepada panel pelaburan KWAP.

"Berhubung syarat KWAP bahawa jaminan kerajaan diberikan untuk pinjaman itu, atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat kabinet dengan semua menteri kabinet dilantik mengikut prerogatifnya, Datuk Seri Najib juga telah menyebabkan kabinet meluluskan dan keluarkan jaminan kerajaan untuk pinjaman KWAP," katanya sambil menambah Najib turut mempercepatkan pengeluaran pinjaman RM4 bilion kepada SRC.

Artikel Berkaitan:

SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Najib miliki kuasa penuh dalam SRC - Bekas pengarah #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Najib #SRC Mahkamah

Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution