Padang SNBJ rosak, Hans Isaac perlu letak jawatan

Afnan Hamimi (tengah) bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa
Afnan Hamimi (tengah) bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac digesa untuk meletak jawatan susulan gagal memastikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di tahap terbaik selain mengalami kerosakan buat kali ketiga.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mendakwa, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga telah gagal dalam tugasnya sebagai orang nombor satu PSM.

"Dia (Hans) tidak jalankan tugas dengan baik untuk negara, membabitkan imej dan profesionalisme pengurusan aset stadium kita.

"Ini memberi kesan kepada pasukan, rakyat (dan) cukai negara. Ini kali ketiga (padang SNBJ rosak), bukan yang pertama kali.

"Cukuplah Hans Isaac. Kalau dia tahu malu, letak jawatan," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa.

Isu melibatkan padang SNBJ menjadi perhatian susulan video dan gambar permukaan padang yang rosak tular selepas penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.

Malah isu sama turut berlaku pada November tahun lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan, sekali gus mengakibatkan permukaan padang rosak meskipun rumput jenis Zeon Zoysia itu baru ditukar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan insiden permukaan padang SNBJ yang rosak amat memalukan negara kerana perlawanan pasukan Malaysia dan Oman malam ini bertaraf antarabangsa.

"Perlawanan bertaraf antarabangsa tetapi padang taraf kampung (kerana) kita tidak menguruskannya dengan baik.

"Kita juga khuatir 'mood' pasukan atau pemain terjejas (kerana) nak bermain atas rumput tidak begitu elok," ujarnya.