Kerajaan cadang bina pusat pengurusan sisa panel solar

Akmal Nasrullah.
Akmal Nasrullah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi agensi kawal selia berkaitan sedang meneroka aspek pengurusan sisa panel solar yang dijangka meningkat secara mendadak apabila tempoh hayat atau pengoperasian loji jana kuasa solar tamat.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, hal itu termasuk cadangan membangunkan pusat pengumpulan dan pemerolehan kembali panel solar secara khusus atau berpusat, serta menetapkan peluasan tanggungjawab pengeluar (extended producer responsibility) terhadap komponen atau panel solar yang digunakan.

"Mengenai pemasangan sistem solar di pedalaman dan luar bandar pula, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyambut baik cadangan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah selaku kementerian yang bertanggungjawab merancang dan membangunkan infrastruktur luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir bagi lembangan sungai utama negara.

Beliau berkata, program itu melibatkan hebahan amaran banjir yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dan dipanjangkan ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bertindak sebagai penyelaras hebahan amaran kepada agensi penyelamat menerusi e-mel, portal, media cetak, media elektronik dan media sosial.

Selain itu katanya, menerusi kerjasama dengan syarikat telekomunikasi, lebih lima juta hebahan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) amaran banjir telah dikeluarkan semasa operasi ramalan banjir Monsun Timur Laut 2023/2024. - Bernama

Artikel Berkaitan: