Pendakwah cetus polemik, perpecahan masyarakat akan diberi peringatan

Mohd Na'im. Foto Bernama
Mohd Na'im. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memandang serius terhadap beberapa agamawan yang dilihat sering mempertikaikan kewibawaan ulama muktabar sehingga boleh mencetuskan polemik dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, walaupun Islam mengiktiraf kebebasan bersuara dan kebebasan mengemukakan pandangan tetapi ia bukan secara mutlak.

Menurutnya, ia perlu berlaku dilakukan dalam lingkaran yang dibenarkan dengan meraikan adab dan kerangka disiplin ilmu tertentu.

“Kerajaan menyedari tentang wujudnya mutakhir ini pihak-pihak yang lantang mempertikaikan kewibawaan para ulama khasnya di media-media sosial kerana perbezaan pandangan dan pendapat dalam sesuatu masalah furu’ (cabang).

“Tidak terlepas menjadi sasaran termasuklah para ulama muktabar dan imam mazhab seperti Imam Shafie,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian susulan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berhubung sikap kerajaan terhadap beberapa agamawan yang sering mempertikaikan kewibawaan ulama seperti Imam Shafie, Imam Ghazali dan sebagainya.

Jelas Mohd Na’im, jika didapati pendakwah tersebut menimbulkan isu-isu yang mengelirukan masyarakat, mereka akan dipanggil untuk diberi peringatan.

“Seterusnya, pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut dengan menarik semula tauliah mengajar sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, sekiranya didapati pendakwah itu tiada tauliah mengajar, tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar semua pendakwah berhikmah di dalam menyampaikan dakwah dan pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah membangunkan Garis Panduan Kod Etika Berdakwah berkaitan perbandingan agama.

“Adab-adab dalam meraikan perbezaan pendapat perlu diamalkan bagi mengelakkan sebarang perselisihan pendapat dalam kalangan pendakwah yang boleh membawa perpecahan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28