Makanan sedap, banyak pilihan

Orang ramai memenuhi kawasan berbuka puasa di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
Orang ramai memenuhi kawasan berbuka puasa di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai juadah makanan yang disediakan serta menepati citarasa menjadi tarikan kepada pengunjung mengimarahkan program Iftar Ala Madinah@Karangkraf.

Kebanyakan pengunjung mengakui program yang berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 itu menyajikan pilihan makanan yang sedap.

Seorang kakitangan swasta, Noor Faizah Sulong@Razak, 40, berkata, sudah kali keempat dia dan keluarga menyertai program Iftar Ala Madinah@Karangkraf kerana makanan yang disediakan tidak pernah mengecewakan.

Pengunjung mengimbas kod QR ketika hadir ke program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024.
Pengunjung mengimbas kod QR ketika hadir ke program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024.

"Anak-anak saya suka datang berbuka puasa di sini sebab makanan pun sedap dan banyak pilihan antaranya nasi ayam, nasi kerabu, nasi minyak dan macam-macam lagi. Memang sangat berpuas hati.

"Lagipun saya tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang ke rumah untuk memasak. Jimat masa dan wang," katanya.

Dalam masa sama, dia turut menyarankan orang ramai yang ingin berbuka puasa di sini untuk datang awal bagi memudahkan mencari parkir dan tempat duduk.

"Saya datang empat orang bersama suami dan anak-anak. Kami datang awal sebab tidak mahu parkir jauh, nanti anak-anak penat berjalan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Azuan Mohammad, 41, berkata, suasana berbuka itu mengimbau kembali kenangan ketika berada di Madinah.

"Ini kali keempat saya datang ke sini bersama isteri, suasananya nampak meriah dan ini mengingatkan saya sewaktu berada di Madinah bagi mengerjakan umrah.

"Saya tidak pernah berpuasa di sana tetapi makan beramai-ramai sama seperti berada di Madinah, bezanya kena cepat sikit ketika berada di sana, sangat seronok," ujarnya.

Rata-rata pengunjung mengakui Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 membantu menjimatkan kos ketika di bulan Ramadan.
Rata-rata pengunjung mengakui Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 membantu menjimatkan kos ketika di bulan Ramadan.

Seorang kakitangan swasta, Siti Syakirah Sheikh Hussien, 29, pula berkata, program itu memberi manfaat kepada semua umat Islam yang berpuasa terutamanya golongan bekerja kerana menjimatkan masa dan wang ringgit.

"Tempat pun strategik, kawasan pejabat, bila balik dari kerja boleh singgah untuk berbuka puasa. Jadi tidak perlu bersusah payah hadap jalan raya sesak.

"Lagipun saya suka konsep berbuka di luar, dapat udara segar, makanan pun sedap dan bukan biasa-biasa," katanya.

Seawal jam 6 petang orang ramai mula mengunjungi program Iftar Ala Madinah@Karangkraf.
Seawal jam 6 petang orang ramai mula mengunjungi program Iftar Ala Madinah@Karangkraf.

Menurut Nasul Miskon, 37, dia hadir ke program Iftar Ala Madinah@Karangkraf untuk merasai sendiri suasana berbuka puasa beramai-ramai.

"Kita boleh lihat suasananya sangat meriah, miskin atau kaya semua dapat merasa," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28